fbpx

Salahuddin selamat jalani pembedahan di HSB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salahuddin pada sidang akhbar selepas merasmikan Persatuan Pengampit Minyak Masak Melayu Zon Utara di Kampung Alor Senjaya, Alor Setar pada pagi semalam.

ALOR SETAR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mengalami pendarahan otak dilaporkan telah selamat menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini pada pagi ini.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau dimaklumkan tentang perkembangan itu oleh pengawal pengiring Salahuddin.

Menurutnya, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Amanah kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB untuk pemantauan dan rawatan dan lanjut.

“Beliau dimasukan ke bilik pembedahan kira-kira pukul 3.30 pagi tadi dari wad kecemasan dan telah selamat menjalani pembedahan.

“Saya tidak pasti berapa lama pembedahan berlangsung tetapi pengawal pengiring beliau memaklumkan pada kira-kira pukul 8 pagi tadi bahawa pembedahan berjaya,” katanya di sini hari ini.

Kata Mahfuz, Salahuddin sebelum itu mengadu tidak sihat ketika berada di sebuah hotel dan dikejarkan ke wad kecemasan HSB kira-kira pukul 10 malam semalam.

“Beliau sepatutnya menghadiri satu program ceramah dengan saya tetapi tidak dapat hadir kerana tidak sihat sebelum,” ujarnya.

Terdahulu, Setiausaha Akhbar kepada Menteri KPDN, Syakirin Husnal memaklumkan Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan HSB dan mendapat rawatan setelah mengalami mual dan muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.

Salahuddin pada semalam menghadiri perasmian Persatuan Pengampit Minyak Masak Melayu Zon Utara di Kampung Alor Senjaya di Alor Setar pada sebelah pagi diikuti Majlis Pelancaran Food Bank dan Menu Rahmah serta Libat Urus di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok pada sebelah petang.

Beliau seterusnya dijadualkan menghadiri Ceramah Perpaduan Malaysia Madani di tapak pekan sehari Kota Sarang Semut, dekat Alor Setar pada malam semalam, namun tidak dapat berbuat demikian selepas mengalami masalah kesihatan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI