fbpx

Salahuddin ‘ditidurkan’ selepas jalani pembedahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin (dua dari kanan) menziarahi Salahuddin yang dirawat di ICU HSB, Alor Setar hari ini.

ALOR SETAR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub ‘ditidurkan’ selepas selamat menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada pagi ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dimaklumkan oleh dua doktor yang memberikan taklimat kepadanya ketika menziarahi Salahuddin, sebentar tadi.

“Saya dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Seri Mahfuz Omar dengan ditemani Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh diberi peluang menziarahi Salahuddin.

“Kami diberi taklimat oleh doktor dalam bidang neurosurgeri yang melakukan pembedahan ke atasnya. Secara relatifnya, beliau dianggap stabil selepas melalui pembedahan yang dianggap berjaya pada awal pagi tadi,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi HSB di sini hari ini.

Kata beliau, Salahuddin diletakkan di bawah pengawasan pasca pembedahan dengan pengawasan rapi di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB.

“Itu bermakna perkembangannya akan diawasi secara cermat oleh doktor-doktor pakar. Setakat ini beliau sedang diintubasi dan doktor memaklumkan daripada segi tekanan darah dan kadar oksigen, semuanya terkawal serta positif,” ujarnya

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, beliau mula mengetahui mengenai kejadian menimpa Salahuddin setelah dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa menerusi kumpulan WhatsApp Jemaah Menteri, pagi tadi.

“Kebetulan saya memang berada di Kedah dan disebabkan itu, saya mengambil kesempatan menziarahi Salahuddin di sini. Saya sempat bertemu dengan keluarganya tadi dan saya fikir mereka perlu diberi ruang untuk menghadapi keadaan ini di samping lain-lain pihak mendoakan buat Salahuddin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI