fbpx

Umar bakal dapat jurulatih baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UMAR (tengah) memburu satu lagi rekod kebangsaan baharu apabila turun menghadapi Sukan Universiti Dunia 2023 di Chengdu hujung bulan ini.

BINTANG olahraga negara, Umar Osman bakal mendapat sentuhan daripada Robert Ballard sebagai jurulatih baharunya sebaik Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) itu memulakan tugasnya secara rasmi pada 1 Ogos ini.

Jurulatih Umar iaitu Simon Lau mendedahkan, beliau sedia melepaskan pemegang rekod 400 meter (m) kebangsaan itu kepada Ballard agar memudahkan urusan anak didiknya dari segi perbelanjaan latihan.

Menurutnya, KOM terpaksa membelanjakan hampir RM21,000 untuk Umar berlatih bersamanya di Singapura di-sebabkan tugasannya sebagai ketua jurulatih akademi olahraga Sekolah Sukan Singapura.

“Saya akan serahkan Umar apabila Ballard datang nanti. Ia lebih memudahkan kerana agak susah kalau dia (Umar) kerap datang ke Singapura. Jadi KOM tak perlu keluarkan bayaran yang mahal kalau dia ke sini.

“Saya bukan tak mahu latih Umar tetapi kalau ada jurulatih lebih bagus, tiada masalah demi perkembangan kariernya. Ballard pun bagus, malah beliau dahulu pernah berlari 400m di Olimpik juga.

“Saya ikhlas mahu serahkan Umar tanpa arahan daripada sesiapa. Saya lakukan ini demi kebaikan atlet supaya lebih maju ke hadapan,” katanya kepada ­Kosmo! baru-baru ini.

Di bawah bimbingan Simon, Umar, 20, berjaya mencipta rekod 400m kebangsaan dengan catatan masa 46.34 saat (s) ketika menjuarai Sukan SEA Kemboja pada Mei lalu.

Kini, Simon menyasarkan satu lagi rekod kebangsaan baharu bersama Umar sebagai ‘hadiah perpisahan’ pada temasya Sukan Universiti Dunia 2023 di Chengdu, China bermula 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI