fbpx

Waspada scam panggilan telefon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jangan berkongsi maklumat perbankan kepada mereka yang tidak kenali. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Seorang pengguna menerima panggilan daripada scammer yang menyamar sebagai pegawai daripada syarikat telekomunikasi dan memaklumkan bahawa beliau telah memenangi hadiah wang tunai berjumlah hampir RM2,000.

Sejurus itu, beliau menerima satu pautan yang meminta butiran akaun dimasukkan ke dalam aplikasi CIMB Clicks.

Dengan memasukkan butiran tersebut, pengguna ini secara tidak langsung telah memberikan maklumat perbankannya kepada scammer.

Terdapat cubaan transaksi melebihi RM8,000 daripada akaun pengguna, yang telah dikesan oleh pasukan penganalisis penipuan CIMB. Transaksi tersebut berjaya disekat serta-merta.

Penganalisis penipuan CIMB yang bertugas menyedari bahawa pengguna ini mungkin menjadi mangsa penipuan dan telah menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan berkenaan kejadian tersebut.

Setelah pengguna mengesahkan situasi yang dialami, transaksi itu terus dibatalkan.

Dalam satu lagi kes, seorang pengguna menerima panggilan daripada scammer yang menyamar sebagai kakitangan sebuah syarikat logistik, yang memaklumkan bahawa beliau mempunyai bungkusan hilang yang telah didaftarkan di bawah namanya.

Setelah mengesahkan bungkusan itu bukan miliknya, pengguna ini dinasihatkan untuk membuat laporan polis.

Panggilan tersebut kemudiannya dipindahkan kepada seorang lagi individu mencurigakan yang menyamar sebagai pihak berkuasa tempatan, namun hakikatnya individu ini sebenarnya bersubahat dengan pemanggil pertama.

Beliau akhirnya berkongsi butiran akaunnya dengan sindiket penipuan.

Tanpa disedari, terdapat satu cubaan transaksi berjumlah hampir RM18,000 daripada akaun pelanggan ini, yang turut dikesan oleh sistem penganalisis penipuan CIMB dan ia segera disekat.

Penganalisis penipuan CIMB, lantas menghubunginya untuk mendapatkan butiran lanjut. Selepas mengesahkan kejadian itu, transaksi tersebut dibatalkan serta-merta.

Pelbagai helah digunakan oleh scammer kini untuk memerangkap pengguna dengan menawarkan hadiah bernilai tetapi sebaliknya terpaksa mendedahkan butiran perbankan kepada mereka. – Gambar hiasan

Kekal tenang

Situasi seperti dua kes di atas yang pernah berlaku boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Ramai dalam kalangan kita sendiri pernah menerima panggilan yang meyakinkan tetapi sebenarnya ia adalah satu penipuan.

Dalam kes pertama, scammer mendorong mangsa untuk berkongsi butiran perbankan mereka melalui pautan untuk menebus hadiah.

Untuk kes kedua pula, scammer menggambarkan diri mereka sebagai individu daripada pihak berkuasa tempatan dan cuba menakutkan mangsa supaya berkongsi butiran perbankan mereka.

Sewaktu berdepan situasi seperti ini, penting untuk kita kekal tenang dan tidak terburu-buru dalam membuat tindakan.

Minta pengesahan identiti pemanggil jika mendengar sebarang perkara yang mencurigakan dan sekiranya pemanggil kedengaran seperti mula memaksa dan mengugut, atau berkeras untuk membuat pembayaran segera, segera tamatkan panggilan tersebut.

Paling penting, jangan kongsi sebarang maklumat perbankan anda.

Ingat bahawa pihak bank atau institusi lain tidak akan meminta butiran perbankan anda seperti nombor TAC atau kata laluan dalam apa jua keadaan.

Langkah pencegahan

Sekiranya berasakan akaun perbankan anda terdedah kepada pihak ketiga, atau penipuan telah berlaku, sila ambil langkah berikut dengan segera:

  •  Aktifkan fungsi Lock Clicks ID dalam Aplikasi CIMB Clicks / CIMB OCTO dengan serta-merta untuk menghalang sebarang transaksi keluar buat sementara waktu
  • Maklumkan kepada pihak bank dengan menghubungi nombor telefon Pusat Panggilan CIMB yang tertera di belakang kad anda
    di 03-6204 7788. Talian ini beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu
  • Segera membuat laporan polis untuk memudahkan siasatan. Anda juga boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997
  • Minta pihak bank untuk menggantung akaun anda buat sementara waktu
  • Simpan semua dokumen dan butiran yang diperlukan sebagai bukti
  • Tukar kata laluan/PIN (nombor pengenalan peribadi) akaun selepas mengaktifkan semula ID CIMB Clicks jika perlu

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI