ISU elaun pelajar latihan industri bukanlah perkara baharu, malah penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang menjalani latihan industri juga bukanlah baru tahun ini dilaksanakan.
Namun, isu ini makin membarah apabila pelajar terpaksa berdepan dengan kos sara hidup tinggi dan menjalani latihan tanpa sebarang elaun.
Jika sebelum ini di universiti, mereka boleh tinggal di kolej kediaman dan makan di kafe yang menawarkan harga berpatutan, namun ketika menjalani praktikal, semua perbelanjaan jadi berganda.
Pelajar-pelajar ini perlu menyewa dengan bayaran bulanan bilik sekitar RM300 hingga RM450 sebulan. Jika mahu berjimat duduk bersesak macam ‘tin sardin’. Kos ini tidak termasuk pengangkutan dan makan minum serta segala perbelanjaan lain.
Seraya itu, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membayar elaun kepada pelajar latihan industri RM800 sebulan, suatu kemenangan.
Langkah itu mengurangkan beban ditanggung pelajar selain bergantung wang dengan ibu dan bapa. Soal cukup atau tidak RM800 itu perkara kedua, tetapi jumlah itu pasti menyenangkan.
Perlu diingat pelajar ini tiada pendapatan. Maka selain pinjaman atau biasiswa, pastinya ibu bapa menjadi penyumbang tetap kepada kelangsungan mereka menghabiskan pengajian.
Kebergantungan itu berlarutan selama tiga hingga empat bulan sepanjang menjalani latihan industri.
Bagi yang berkemampuan, isu makan minum, tempat tinggal dan kos pengangkutan tiada masalah. Namun, bagi yang sebaliknya, segala-galanya menjadi bebanan.
Rakan penulis dahulu, setiap minggu ibunya akan memberikan RM300 kerana dia tidak mempunyai elaun selain membayar sewa bilik serta bil api dan air. Itu kisah tujuh tahun lalu.
Isu bayaran pelajar praktikal sebelum ini menjadi polemik susulan seorang penuntut universiti awam menyifatkan mereka bukan buruh percuma.
Penuntut itu menyuarakan kebimbangan sama ada dapat menyelesaikan latihan industri kerana elaun sedikit dan ada yang tiada langsung.
Kosmo! juga menjadi ‘pejuang’ kepada masalah ini. Ada pelajar yang terpaksa bekerja sebagai penghantar makanan bagi mencari duit menampung kos sara hidup sebagai pelajar intern.
Malah, ada juga yang terpaksa ikat perut dan menebalkan muka meminjam daripada rakan-rakan untuk makan dan minum serta kos ke tempat praktikal.
Sewajarnya perkara ini diambil berat, mereka bukan meminta ribuan ringgit, tetapi sedikit belas ihsan bagi menyelesaikan tuntutan pembelajaran.
Bagaimanapun, arahan itu perlu diikuti dengan tindakan penguatkuasaan, jangan pula ada syarikat mengehadkan jumlah pelajar praktikal. Jika itu berlaku, pelajar pula terkena tempias. Sia-sia arahan diberikan.
Namun, jangan pula isu ini jadi ‘gula-gula’ pilihan raya. Kerajaan juga perlu menyiasat dakwaan terdapat syarikat yang mengambil pelajar praktikal beramai-ramai bagi menjimatkan kos. Satu lagi kisah sedih.
















