fbpx

Liga Super: Dua import sumbang kemenangan KDA FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IFEDAYO (tengah) meledak dua gol ketika membantu KDA mencatat kemenangan 3-1 ke atas Kelantan United kelmarin.

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI

DUA pemain import baharu Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Ifedayo Olusegun serta Moses Atede mula mempamerkan bisa masing-masing selepas memainkan peranan cukup penting dalam dua aksi setakat ini.

Ketika aksi menentang Kelantan United FC kelmarin, Ifedayo menjaringkan dua gol, manakala gerakan lincah Atede banyak membantu dalam melancarkan gerakan di bahagian tengah yang menjadi ‘enjin’ pasukan.

Mengulas perkara itu, Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain berkata, beliau gembira dengan dua pemain itu yang dilihat cepat menyesuaikan diri dengan pasukan walaupun hanya mula berlatih beberapa minggu lepas.

“Pencapaian tiga gol dalam dua perlawanan dicatatkan Ifedayo nyata cukup baik untuk seorang penyerang. Bagi Moses pula, dia jelas memainkan peranan penting di bahagian tengah dalam membantu kami menggerakkan serangan.

“Berbanding aksi pertama mereka minggu lalu, saya fikir kedua-dua pemain ini tampil lebih baik dari sudut kecergasan, pergerakan dan membuat keputusan. Peningkatan memang ada, tetapi perkara itu masih perlu ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Selain dua gol Ifedayo, kemenangan KDA FC turut dibantu oleh satu jaringan menerusi pemain import dari Tajikistan, Amirbek Juraboev yang menggantikan Atede, manakala gol sagu hati Kelantan United pula disumbangkan, Ismaheel Akinade.

Ditanya persaingan melibatkan Moses dan Amirbek untuk merebut tempat di bahagian tengah, Nafuzi berkata, kedua-dua pemain itu memiliki kelebihan tersendiri yang mampu membantu pasukan dalam keadaan tertentu.

“Amirbek memiliki kelebihan daripada aspek serangan terutamanya bagi mencari ruang dan membentuk pergerakan untuk formasi tersebut, manakala Moses pula membawa keseimbangan kepada pasukan serta menjadi penghubung sangat bagus antara barisan pertahanan dengan pemain penyerang,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI