fbpx

Program MyLESEN B2 dilaksana hasil kerjasama MOT, agensi luar bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke Siew Fook (tengah) beramah mesra bersama penerima lesen memandu motosikal pada majlis pelancaran Program MyLESEN B2 Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Orang Ramai Titi, Jelebu hari ini. Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN/KOSMO!

JELEBU – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menjalankan kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan berkaitan luar bandar bagi menampung perbelanjaan untuk pelaksanaan Program MyLESEN B2.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia selepas program itu yang memberikan lesen memandu kelas B2 (motosikal) secara percuma kepada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) telah mendapat sambutan dan maklum balas menggalakkan.

Bagaimanapun jelas beliau, peruntukan yang disediakan ketika ini iaitu sebanyak RM2.7 juta hanya dapat memberi manfaat kepada 9,000 orang penerima berbanding permohonan yang diterima lebih tinggi daripada itu.

“Di seluruh negara, seramai 9,000 menerima manfaat daripada program ini, memang tidak ramai, keperluan memang ramai tetapi yang kita dapat tampung tidak ramai. RM2.7 juta itu hanya boleh tampung 9,000 penerima, kos setiap seorang itu RM300 yang kita bayar kepada institut memandu untuk buat latihan dan ujian.

“Tahun depan, melihat program ini yang mendapat maklum balas positif daripada rakyat, sudah tentu kami cuba untuk dapatkan peruntukan tambahan bagi tahun hadapan supaya lebih ramai yang dapat lesen B2 ini dalam kalangan B40.

“Memang kita tak dapat tampung semua, kami akan cuba buat dengan agensi-agensi lain, kalau kawasan luar bandar, kalau ada agensi-agensi lain kalau mereka boleh menampung perbelanjaan itu, kami boleh bantu melaksanakan program ini,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program MyLESEN B2 Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Orang Ramai Titi di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, seramai 363 orang golongan B40 yang majoritinya dalam kalangan masyarakat Orang Asli menerima manfaat menerusi program tersebut.

Siew Fook dalam pada itu menambah, selain kos, antara faktor ramai dalam kalangan penduduk luar bandar masih tidak mempunyai lesen memandu adalah kerana ketiadaan institut latihan memandu berdekatan dengan kediaman mereka.

“Memang betul, kalau di Jelebu dan dari Kampung Chennah, mahu pergi ke Seremban, jaraknya lebih 60 kilometer, kos satu masalah, masalah kedua mahu pergi itu susah dan daerah Jelebu belum ada institut memandu. Sesiapa yang mahu ambil lesen, paling dekat ke Seremban atau Bahau, itu sesuatu yang mungkin berikan kekangan kepada mereka.

“Program ini lain, bukan sahaja beri percuma tetapi kita pergi ke tempat mereka, institut memandu akan pergi ke tempat mereka untuk buat latihan dan berikan kursus.

“Ini akan memudahkan mereka dapatkan lesen, kita bawah Jabatan Pengangkutan Jalan dan institut memandu pergi sampai kampung untuk buat ujian dan bantu mereka dapatkan lesen,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI