fbpx
ANIQ SUHAIR

‘Kayu, lembut, jambu’ sangatkah Aniq Suhair?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKTOR muda Aniq Suhair percaya, apabila usaha dan komitmen dipacu secara bersungguh-sungguh, jolokan ‘pelakon kayu’ yang sedang singgah dipangkal namanya pasti beransur hilang ditelan kepercayaan khalayak.

Namanya mungkin masih asing bagi segelintir khalayak, namun realitinya, pelakon meningkat naik itu miliki kelompok peminat fanatik tersendiri.

Berusaha keras selain tampil dengan imej bersih tanpa sebarang kontroversi murahan barangkali menjadi penyebab nama pelakon merangkap model itu kurang menjadi sebutan pengikut dunia seni.

ANIQ mengakui tiada masa untuk menjalin hubungan cinta kerana ingin fokus mengejar cita-citanya untuk menjadi pelakon yang berkualiti seiring populariti.
– MUHAMAD IQBAL ROSLI/INSTAGRAM ANIQ

Sentiasa positif

Enggan menyerah, Aniq yang memahat jenama menerusi beberapa naskhah drama, ini mula meniti bibir pencinta drama tanah air.

Malangnya, bukan pujian dizahirkan kepada pelakon berusia 23 tahun itu, tetapi kecaman bertalu-talu harus ditelan, selain dilabel sebagai pelakon kayu.

Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Muhammad Aniq Suhair Mohd. Salleh itu tidak mudah melatah, sebaliknya mengambil kecaman sebagai penguat semangat untuk terus berjuang.

“Jujurnya, saya ada tengok komen netizen, ada yang positif ada yang negatif.

“Bukan sahaja dilabel pelakon kayu, malah ada yang kata saya tak layak membawa watak hero kerana muka saya terlalu ‘lembut’ dan jambu,” kata Aniq.

Tidak senada dengan kecaman tersebut, Aniq berpendapat kemahiran lakonan adalah tunjang utama yang perlu dipersiapkan seseorang pelakon, selain rupa serta fizikal kurniaan Ilahi.

“Pada saya, cara dan kemahiran lakonan seseorang pelakon membawa watak hero sebenarnya lebih penting berbanding tuntutan maskulin seperti jadi ‘sado’, suara garau atau berjambang.

“Namun saya sedar, netizen ada hak bersuara. Justeru, saya akan ambil mana yang positif dan ketepikan komen negatif yang mematahkan semangat.

Menelan hakikat tidak mampu memuaskan hati semua orang, Aniq sedaya upaya memperbaiki dan meningkatkan mutu lakonan dengan harapan, gelaran berkonotasi negatif ‘pelakon kayu’ menjauh daripadanya.

“Apa yang boleh saya buat, saya akan cuba sedaya upaya memperbaiki diri dan menambah baik kemahiran lakonan saya supaya tidak kaku.

“Saya yakin selepas ini mereka (netizen) tidak akan meragui lagi kebolehan dan bakat saya sebagai seorang pelakon berkualiti,” jelasnya panjang lebar.

TIDAK mudah melatah dilabel sebagai pelakon kayu, Aniq terbuka menerima kritikan dan berusaha keras meningkatkan kualiti lakonan.

Bersaing secara sihat

Melihat rakan artis seusia seperti Meerqeen, Amir Ahnaf dan Mierul Aiman lebih ke hadapan, Aniq tidak berkecil hati malah menyifatkan situasi sebegitu sebagai persaingan sihat dalam memeriahkan industri seni tanah air.

“Sebagai seorang pendatang baharu dalam industri, saya kira ini adalah persaingan yang sihat.

“Tiada langsung terbit di hati rasa cemburu mahupun hasad dengki dengan kejayaan mereka yang lebih dahulu sampai berbanding saya,” ujar Aniq.

Dalam masa sama, pelakon drama Journal Sarahaeyo itu juga percaya kepada rezeki yang telah tertulis buat seseorang itu menyinar dan meraih populariti.

“Rezeki tidak pernah salah alamat. Dikenali atau tidak itu adalah rezeki masing-masing.

“Kalau sudah ditetapkan seorang pelakon itu popular dengan hanya satu drama, itu sudah tertulis buatnya.

Paling utama kata Aniq, berbekalkan usaha keras dan ilmu yang cukup, populariti akan datang indah pada waktunya.

ANIQ pertama kali digandingkan bersama Arena dan Alisya dalam siri Journal Sarahaeyo terbitan Viu Malaysia.

Journal Sarahaeyo

Berkongsi tentang drama Journal Sarahaeyo lakonan terbaharunya yang ditayangkan dalam platform Viu, Aniq berkata, drama tersebut benar-benar menguji ketahanan fizikalnya selain mencabar kebolehan meneutralkan diri dalam lakonan.

“Memandangkan penggambaran drama Journal Sarahaeyo itu dibuat di Korea Selatan, cabaran utama adalah cuaca, bayangkan suhu ketika itu sekitar -4 darjah Celsius, penggambaran pula di luar bangunan, memang menguji kemampuan kami.

“Waktu itu, saya fikir ini adalah masanya untuk saya tunjukkan kebolehan saya untuk berlakon dalam apa jua keadaan, saya kuatkan diri untuk lontarkan dialog supaya kedengaran neutral dan tidak menggigil kesejukan,” jelasnya.

Kata Aniq, pengalaman berlakon di Korea Selatan sekitar awal bulan April lalu menjadi nilai tambah buatnya untuk terus menjadi anak seni yang kuat dalam menghadapi setiap cabaran diberi.

Tambahnya, pengalaman bekerja bersama barisan pelakon baharu seperti Arena Wan dan Alisya Rashid, membuatkan dirinya semakin banyak belajar perkara baharu yang mematangkan.

“Saya pun masih baharu (dalam bidang ini), tapi saya ada juga berkongsi teknik-teknik untuk menghayati watak dan kami saling berkongsi pandangan untuk mencantikkan lagi lontaran dialog seiring membina sinergi bersama dalam lakonan,” kata Aniq.

Journal Sarahaeyo, arahan pengarah Blimey kini ditayangkan menerusi platform penstriman, Viu Malaysia.

SELAIN berlakon, Aniq kini sedang sedaya upaya menghabiskan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN