fbpx

Peruntukan RM100 juta kepada agensi penguat kuasa perkukuh kelengkapan – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar berucap pada program Cakna Madani bersama Agensi Penguatkuasa 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Gambar FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta pada tahun ini untuk diagihkan kepada semua agensi penguat kuasa bagi tujuan perbelanjaan terutamanya dalam mengukuhkan kelengkapan penguatkuasaan serta menyokong operasi penguatkuasaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi menghargai komitmen serta usaha agensi penguat kuasa yang sentiasa bertungkus lumus membantu meningkatkan hasil negara.

Katanya, peranan agensi penguat kuasa adalah sangat penting dalam memastikan pelaksanaan undang-undang berada pada landasan betul.

“Aspek integriti dan ketelusan dalam melaksanakan undang-undang juga merupakan elemen penting dalam memastikan negara terus berdaya saing serta ketirisan dapat ditangani.

“Insya-Allah, pada tahun 2024, kerajaan akan terus komited memperuntukkan peruntukan khusus mengambil kira prestasi kutipan hasil tambahan yang ditunjukkan oleh agensi penguat kuasa.

“Saya juga meluluskan segera peruntukan sebanyak RM4 juta bagi keperluan kenderaan dan kelengkapan komputer bagi pasukan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya ketika berucap pada program Cakna Madani Perdana Menteri bersama Agensi Penguatkuasaan di sini hari ini.

Anwar berkata, peruntukan itu akan disalurkan selewat-lewatnya pada Jumaat depan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan tiga inisiatif kepada pasukan penguat kuasa antaranya kajian bagi memperkasa organisasi dan menambah baik laluan kerjaya kepada pegawai dan anggota skim penguat kuasa.

Selain itu, katanya, mana-mana agensi yang berjaya mencapai kutipan hasil melebihi sasaran, dicadangkan pemberian dalam bentuk pemerkasaan peralatan, kelengkapan dan kemudahan yang diperlukan untuk melaksanakan tugasan dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, insentif pakaian seragam bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional ditambah baik kepada kaedah bekalan kemudahan pakaian seragam di enam agensi melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM5,502,780 setahun.

“Agensi itu ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” ujarnya.

Pada masa sama, Anwar turut memberi komitmen untuk mengkaji keseluruhan skim perkhidmatan persaraan penjawat awam dalam satu jawatankuasa khas sekretariat yang akan dipengerusikan beliau pada minggu depan.

“Kajian skim perkhidmatan awam tidak dibuat melebihi 10 tahun dan diakui kadar gaji dan upah termasuk elaun penjawat awam relatif nisbahnya adalah rendah.

“Sebagai kerajaan bertanggungjawab kita mencari jalan untuk meningkatkan kadar ini. Walaupun hutang negara mencecah RM1.5 trilion ia bukan alasan (untuk tidak mempertingkatkan kadar itu) saya tak mahu tangguh.

“Sama ada kenaikan itu secara berperingkat iaitu setiap tahun ada kenaikan setimpal dengan kerja mereka, saya fikit pendekatan itu lebih baik untuk melihat semula skim perkhidmatan awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI