fbpx

Penjualan darjah kebesaran Pahang dalam e-dagang dikesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUANTAN – Polis Kontinjen Pahang mengesan satu aktiviti penjualan bintang dan lencana darjah kebesaran negeri Pahang melalui satu platform e-dagang tanpa kebenaran.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, pengesanan aktiviti berkenaan adalah berdasarkan laporan yang di terima pihak Polis Daerah Pekan pada 11 Julai lalu.

“Polis sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 3(1)(c) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.

“Di bawah seksyen ini, tiada seorang pun boleh, kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, membuat bagi maksud jualan atau menjual atau mempamer untuk jualan atau memiliki untuk dijual, apa-apa lambang, gelaran atau anugerah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Kontinjen Pahang, di sini, hari ini.

Menurut Yahaya, berdasarkan siasatan awal mendapati platform berkenaan menjual satu set darjah kebesaran pada harga lebih RM1,000.

Dalam pada itu, Yahaya mengingatkan orang ramai agar tidak memasang atau memaparkan lambang atau emblem darjah kebesaran negeri Pahang pada mana-mana bahagian kenderaan tanpa kebenaran.

Beliau menegaskan, mana-mana individu yang disabitkan bagi kedua-dua kesalahan berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM500,00 atau boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Mereka yang melakukan kesalahan ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3(1)(d) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.

“Di bawah Seksyen ini dinyatakan bahawa tiada seorang pun boleh, kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, mempamer atau melekatkan apa-apa bahan yang mengandungi apa-apa lambang, gelaran atau anugerah, atau apa-apa replika mengenainya kepada apa-apa kenderaan,” ujarnya.

Sementara itu beliau berkata, pihak polis akan menjalankan satu operasi khas bagi mengesan pemilik kenderaan yang menampal lambang atau emblem negeri Pahang tanpa kebenaran sekali gus mengambil tindakan ke atas individu terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI