fbpx

Bot pukat rawa sorong, nelayan warga Myanmar ditahan APMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot pukat rawa sorong yang ditahan APMM di perairan Kerian dan Larut Matang, semalam.

BAGAN SERAI – Sebuah bot pukat rawa sorong ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau kerana tidak memiliki lesen yang sah dan menggunakan peralatan tidak dibenarkan pada kedudukan 2.44 batu nautika barat Pulau Sangga Besar, Kuala Kurau, di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, penahanan itu dibuat kira-kira pukul 9.05 malam oleh pasukan operasi APMM ketika ia melakukan rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang.

“Setelah ia dirapati untuk pemeriksaan, anggota mendapati terdapat dua nelayan di atas bot iaitu seorang tekong warga tempatan dan seorang kru warga Myanmar masing-masing berumur 53 dan 31 tahun sedang melakukan aktiviti perikanan menggunakan pukat rawa sorong yang tidak dibenarkan.

“Hasil pemeriksaan terhadap dokumen, kru warga Myanmar itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri manakala bot tidak memiliki lesen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd. Najhan berkata, kedua-dua nelayan ditahan dan bot serta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana tidak memiliki lesen vesel yang sah.

Orang ramai boleh melaporkan sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan yang berlaku di laut kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI