fbpx

Anak pembuat kuih cemerlang STPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aqilah (kiri) menunjukkan slip peperiksaan STPM kepada ibunya, Mariam di Kuala Terengganu, hari ini.

KUALA TERENGGANU – Kesusahan hidup tidak menghalang Aqilah Talib, 20, muncul pelajar cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan hari ini, dengan memperolehi semua A dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.

Anak bongsu daripada 10 beradik itu berkata, ayahnya, Talib Abdul Rahman, 70, dan ibunya, Mariam Chik, 60 menjual kuih-muih tradisional bagi menyara kehidupan mereka.

Aqilah yang menetap di Pasir Panjang berkata, dia akan bangun pada pukul 4 pagi setiap hari untuk mengulang kaji pelajaran selama sejam.

“Saya seterusnya akan membantu ibu menggoreng kuih-muih dan menghantarnya ke 10 gerai di sekitar pusat bandar raya ini sebelum ke sekolah.

“Walaupun agak penat namun semua itu berbaloi dengan keputusan cemerlang hari ini. Ia hadiah terbaik untuk ibu bapa saya,” katanya, di sini hari ini.

Beliau adalah antara 112 pelajar cemerlang Terengganu yang memperolehi PNGK 4.00 dalam STPM 2022.

Aqilah berkata, beliau mengikut nasihat bapanya untuk menyambung pelajaran ke tingkatan enam walaupun sekadar memperolehi 4A, 1B dan 2C pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lalu.

Beliau berkata, pada waktu itu, dia turut menolak tawaran melanjutkan pelajaran di peringkat diploma di sebuah universiti awam ekoran masalah kewangan keluarga.

“Saya berharap selepas ini dapat menyambung pelajaran di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus dalam jurusan undang-undang.

“Lokasinya dekat dengan rumah. Saya masih boleh terus membantu ibu menjual kuih sambil meneruskan cita-cita menjadi peguam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI