PUTRAJAYA – Penggunaan media sosial dalam kalangan rakyat Malaysia mencatat peningkatan setiap tahun dengan anggaran purata penggunaannya adalah mencecah sehingga enam jam sehari atau bersamaan 42 jam seminggu.
Berdasarkan statistik dikeluarkan Data Reportal, jumlah pengguna media sosial di Malaysia pada Januari 2023 dianggarkan seramai 26.8 juta dengan pengguna yang melayari aplikasi YouTube dilaporkan paling tinggi iaitu sebanyak 25.9 juta pengguna.
Selain YouTube, pengguna Facebook turut mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 20.25 juta diikuti TikTok (19.3 juta), Instagram (13.9 juta), Facebook Messenger (11.2 juta) dan Twitter seramai 5.5 juta pengguna.
Menurut Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil, penggunaan media sosial di Malaysia terus meningkat sejak 10 tahun lalu selepas wujudnya pelbagai keperluan dalam kehidupan harian.
Katanya, penggunaan media sosial juga dilaporkan meningkat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana jumlahnya mencecah 28 juta pada Januari 2021, manakala sebanyak 30.25 pada Januari 2022.
“Sebenarnya, penggunaan media sosial sudah menjadi sebahagian ‘asam garam’ kehidupan dan kalau kita lihat pada statistik dikeluarkan, Malaysia menjadi antara lima negara tertinggi menggunakan platform itu di rantau Asia.

“Disebabkan itu, tempoh penggunaan media sosial di negara ini mampu mencecah sehingga enam jam sehari kerana ia bukan sahaja dilayari ketika berada di rumah, tetapi menjadi pilihan ketika bekerja.
“Ada pengguna memerlukan media sosial ketika bekerja selain menggunakan platform berkenaan untuk menjana pendapatan,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Menurutnya, ledakan jualan online khususnya selepas musim PKP turut menjadi faktor utama peningkatan penggunaan media sosial memandangkan orang ramai lebih gemar membeli barangan secara online.
“Pembelian barangan secara online sudah menjadi gaya hidup, jadi pengguna akan melayari aplikasi berkaitan untuk melihat produk ditawarkan dan ia mungkin mengambil masa berjam-jam.
“Penyedia aplikasi juga semakin bijak dengan menyediakan algoritma canggih iaitu menawarkan lebih banyak konten yang bersesuaian,” jelasnya.
Susulan keghairahan itu, Siraj berkata, literasi media sosial perlu diwujudkan segera dengan melibatkan semua pihak termasuk sekolah, agensi penguatkuasaan serta pengguna platform digital itu sendiri.
“Kerajaan perlu memberi fokus mewujudkan literasi media digital bagi memberi pendedahan kepada pengguna menggunakan platform berkenaan dengan betul dan selamat.
“Literasi media digital perlu dimulakan di peringkat sekolah bagi memberikan pendidikan awal kepada generasi muda dan bukannya bergantung harap kepada agensi tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Psikologi Bahagian Sumber Manusia, Universiti Sains Malaysia, Mohamad Shafieq Ishak berkata, ketagihan media sosial boleh menyebabkan seseorang mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan dan kerisauan melampau.
“Dalam konteks psikologi, ketagihan ini bukan sahaja mempengaruhi emosi golongan muda, tetapi turut memberi impak kepada kesihatan mental individu dewasa yang melayari media sosial secara berlebihan.
“Selain itu, ketagihan berkenaan juga menyebabkan pengguna berdepan situasi fear of missing out iaitu mudah berasa risau jika terlepas sesuatu kandungan atau maklumat di media sosial,” jelasnya.
Katanya, sebagai contoh, perasaan sedih dan kecewa itu akan timbul apabila mereka melayari media sosial dan melihat rakan-rakan berkongsi gambar secara bersama, namun tidak diajak untuk menyertainya.














