MELIHAT rakan-rakan lain yang berkahwin sudah memiliki cahaya mata membuatkan seorang lelaki yang ingin dikenali sebagai Azman menyimpan hasrat sama.
Namun, setelah lebih enam tahun mendirikan rumah tangga bersama isteri tercinta, dia masih belum ada rezeki menimang cahaya mata.
“Pada mulanya, saya merasakan isteri saya yang mempunyai masalah untuk mengandung.
“Saya seakan menyalahkannya kerana tidak boleh memberi zuriat.
“Akhirnya, kami berdua berbincang dan bersetuju untuk melakukan pemeriksaan kesihatan bagi mengenal pasti punca kami tidak dikurniakan zuriat,” katanya kepada K2.
Tambah Azman yang berusia 30-an, setelah pemeriksaan kesihatan dilakukan, dia tidak menyangka bahawa dirinya yang didapati mengalami masalah ketidaksuburan.
Disebabkan itu, Azman perlu menjalani beberapa rawatan bagi memastikan kesuburannya kembali pulih.
Sememangnya ketidaksuburan sering dianggap sebagai masalah yang lazimnya dialami oleh wanita. Hakikatnya, masalah ketidaksuburan adalah sama bagi kedua-dua jantina.
Ia boleh dialami oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira jantina atau umur.
Oleh itu, lelaki memikul beban yang sama dalam perbincangan mengenai ketidaksuburan.
Ketidaksuburan lelaki secara umumnya ditakrifkan sebagai masalah sperma yang tidak normal.
Masalah ketidaksuburan dalam kalangan lelaki di negara ini didapati berada pada tahap membimbangkan.
April lalu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu memaklumkan di Dewan Rakyat, berdasarkan data ujian analisis sperma daripada makmal Lembaga Penduduk dan
Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), 60 peratus keputusan dijalankan didapati abnormal.
Menurutnya, ia turut menyumbang kepada peningkatan masalah kesuburan dalam pasangan berkahwin.

Sementara itu, Pengarah dan Pakar Kesuburan di Pusat Kesuburan Antarabangsa Sunfert (Sunfert) Kuala Lumpur, Dr. Eeson Sinthamoney juga mengakui bahawa kadar ketidaksuburan lelaki semakin meningkat.
“Memandangkan faktor masyarakat dan persekitaran terus berkembang, kami menyaksikan peningkatan yang berterusan dalam kes ketidaksuburan lelaki.
“Mengiktiraf dan menangani isu ini adalah amat penting. Kita perlu menyediakan sokongan komprehensif dan penyelesaian yang sesuai kepada individu serta pasangan bagi mengharungi cabaran ini,” katanya.
Jelasnya, ketidaksuburan lelaki boleh dikaitkan dengan pelbagai faktor biologikal termasuklah abnormaliti genetik, gangguan hormon, isu berkaitan anatomi dan masalah kesihatan sedia ada.
Pilihan gaya hidup seperti merokok, pengambilan alkohol yang berlebihan, serta tabiat pemakanan kurang sihat juga boleh memberikan impak besar terhadap kesuburan lelaki.
Dr. Eeson menjelaskan, ujian sperma ringkas boleh dijalankan sebagai langkah permulaan bagi mengukur kiraan sperma dan tahap kesuburan secara keseluruhan.
“Seterusnya, kita harus memastikan fungsi badan serta mengenal pasti masalah kesihatan sedia ada seperti gangguan hormon, faktor genetik dan parameter sperma,” jelasnya.
Terang Dr. Eeson lagi, menerusi analisis menyeluruh terhadap aspek-aspek itu, doktor boleh mendapatkan gambaran mengenai punca spesifik yang menyumbang kepada ketidaksuburan.
Pemeriksaan menyeluruh itu membolehkan pesakit mendapatkan rawatan yang disusun khas berdasarkan faktor-faktor penyebab ketidaksuburan pada lelaki.
Selain itu, ujian genetik boleh memainkan peranan penting dalam diagnosis dan pengurusan kes ketidaksuburan lelaki yang serius.
Ia melibatkan analisis bahan genetik setiap individu seperti ujian asid deoksiribonukleik (DNA) atau kromosom bagi mengenal pasti sebarang abnormaliti genetik yang mungkin berkait dengan ketidaksuburan.
Sementara itu, kemajuan dalam teknologi penyimpanan sperma seperti pembekuan cryo (cryopreservation) telah merevolusikan dunia kesuburan lelaki. Pembekuan cryo melibatkan proses pembekuan dan penyimpanan sampel sperma untuk kegunaan pada masa depan.
Teknik tersebut berkesan bagi lelaki yang menerima rawatan seperti kemoterapi atau terapi radiasi.
Ini kerana, rawatan tersebut boleh menjejaskan kesuburan mereka.

Penyimpanan sperma seperti itu memberi harapan kepada individu tersebut untuk berkeluarga pada masa hadapan, walaupun mereka telah melalui proses rawatan yang boleh menjejaskan kesuburan.
Selain itu, bantuan emosi merupakan salah satu aspek penting semasa menangani cabaran ketidaksuburan lelaki.
Sesi kaunseling dan terapi boleh memberikan ruang kepada lelaki atau pasangan mereka untuk meluahkan perasaan, emosi serta pengalaman mereka.
Mereka juga boleh mendapatkan nasihat dan pandangan bagi membina strategi untuk menghadapi masalah dihadapi.
Pengawalan stres dan mekanisme mengatasi masalah yang sihat boleh membantu meringankan beban emosi mereka.
Teknik seperti keprihatinan, menenang diri dan melakukan hobi atau aktiviti fizikal boleh memberikan ketenangan serta meningkatkan kesejahteraan badan.
“Walaupun ketidaksuburan merupakan topik yang semakin menarik perhatian dalam tahun-tahun yang lepas, namun ia lazimnya memberi fokus terhadap pengalaman wanita.
“Kita juga perlu memahami persepsi lelaki terhadap ketidaksuburan dan bagaimana ia memberikan impak terhadap emosi, hubungan serta kualiti hidup mereka,” ujar Dr. Eeson.
Sementara itu, beliau menekankan bahawa pandangan dunia terhadap kesuburan telah berubah dengan ketara sejak tiga dekad lalu.
Menurutnya, pasangan kini lebih cenderung untuk memulakan keluarga lebih kecil dengan satu atau dua anak berbanding generasi sebelumnya yang mempunyai empat hingga lima anak.
“Lelaki kini lebih terbuka untuk mendapatkan pandangan doktor, menyediakan sampel sperma dan meneroka langkah-langkah yang tersedia dalam rawatan kesuburan.
“Kepada semua lelaki yang menghadapi masalah ketidaksuburan, jangan rasa malu atau segan. Hadapi proses transformatif ini untuk menjadi seorang bapa. Kita mempunyai pelbagai pilihan pada hari ini untuk memulakan sebuah keluarga,” nasihatnya.
Dalam pada itu jelasnya, teknologi bantuan reproduktif (ART) memberi harapan kepada pasangan dan individu yang menghadapi isu ketidaksuburan lelaki untuk mendapatkan anak.
Inseminasi intrauterine (IUI) merupakan prosedur di mana konsentrasi sperma ditempatkan terus ke dalam rongga rahim bagi meningkatkan kemungkinan kehamilan dalam persekitaran semula jadi.
Sebaliknya, persenyawaan in-vitro (IVF) merupakan prosedur yang diterima secara meluas dan telah melahirkan hampir 10 juta bayi di seluruh dunia. Berbanding IUI, prosedur IVF melibatkan persenyawaan ovum (telur) oleh sperma di luar badan yang kemudiannya dipindahkan ke dalam uterus.
Katanya, kadar kejayaan IUI dan IVF bergantung kepada faktor-faktor individu seperti umur pasangan wanita, tahap kesihatan badan dan punca ketidaksuburan bagi individu berkenaan.
Tuturnya, melalui teknologi bantuan reproduktif itu, para lelaki boleh meneroka pilihan alternatif bagi mendapatkan anak.
Mereka juga boleh memilih prosedur yang sesuai dengan situasi dan pilihan gaya hidup sendiri.














