fbpx

RM462 juta kutipan zakat PPZ-MAIWP dalam tempoh 6 bulan tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na’im ketika berucap pada Majlis Zakat Korporat 2023 di Hotel Everly, Putrajaya, hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

PUTRAJAYA – Kutipan zakat Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) meningkat RM462 juta bagi tempoh enam bulan tahun ini berbanding RM423 juta tempoh sama tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, daripada jumlah tersebut RM59.85 juta adalah daripada kutipan zakat perniagaan itu meningkat enam peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM56.6 juta.

“Melihat kepada jumlah peningkatan kutipan, saya secara peribadi berasa bangga dan bersyukur kerana kesedaran berzakat semakin meningkat dan meluas di kalangan umat Islam, tidak kira di peringkat individu, perniagaan mahupun korporat.

“Tentunya komitmen kami di MAIWP, kita akan bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan agihan zakat tersebut dilaksanakan sebaik-baiknya demi kepentingan umat Islam,” katanya ketika berucap pada Majlis Zakat Korporat 2023 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Na’im juga berkata bagi tempoh yang sama juga sebanyak RM420 juta dana zakat telah diagihkan kepada para asnaf melalui pelbagai skim bantuan.

“Zakat yang dibayar oleh para pembayar zakat telah diagihkan kepada para asnaf dengan penuh terancang melalui pelbagai program dan inisiatif,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha untuk menoktahkan isu kemiskinan khususnya di kalangan umat Islam adalah tugas kita bersama.

“Melalui kerjasama erat antara MAIWP bersama agensi-agensi korporat, banyak program yang boleh dilaksanakan khususnya program pendidikan dan bimbingan kepada para asnaf,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI