fbpx

PPZ-MAIWP terima bayaran zakat perniagaan bernilai RM13 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Na’im ketika Majlis Zakat Korporat 2023 di Hotel Everly, Putrajaya, hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

PUTRAJAYA – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima bayaran zakat perniagaan daripada 21 syarikat korporat berjumlah RM13,040,397.59 bagi tahun 2022 dan 2023.

Zakat perniagaan tersebut diserahkan oleh wakil setiap syarikat kepada PPZ-MAIWP disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar pada Majlis Zakat Korporat 2023 di sini hari ini.

Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, setakat Januari hingga Jun lalu, PPZ-MAIWP telah mengutip zakat perniagaan sebanyak RM59,851,357.08 dengan jumlah pembayar sebanyak 2,373 pembayar.

Katanya, PPZ-MAIWP amat mengalu-alukan pembayaran zakat perniagaan dari syarikat-syarikat korporat demi kemaslahatan asnaf di Wilayah Persekutuan.

“Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua syarikat-syarikat korporat yang menunaikan zakat di PPZ-MAIWP.

“Di kesempatan ini saya ingin mengajak seluruh syarikat korporat untuk tampil tunaikan zakat perniagaan kerana zakat juga antara salah satu kaedah untuk mengembangkan lagi perniagaan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Tambahnya, PPZ-MAIWP juga menawarkan Skim Wakalah atau pengembalian semula wang zakat untuk dimanfaatkan semula kepada mereka yang memerlukan.

“Pembayaran zakat perniagaan serendah RM10,000 dan ke atas boleh mendapat pulangan semula wang zakat sehingga 50 peratus.

“Justeru itu, PPZ-MAIWP menyeru masyarakat Islam khususnya syarikat dan organisasi di Wilayah Persekutuan untuk menunaikan zakat perniagaan mereka di PPZ-MAIWP bagi membantu lebih ramai golongan yang memerlukan termasuklah kakitangan sendiri,” ujarnya – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI