PADA bulan Mac lalu, Bermaz Motor Sdn. Bhd. telah mengumumkan tempahan model kenderaan utiliti sukan (SUV) kecil Mazda CX-30 dengan pemasangan tempatan (CKD) telah dibuka.
Secara tidak langsung ini merupakan model ketiga jenama itu yang dipasang di Inokom Assembly Plant di Kulim, Kedah.
Dalam pengumuman itu juga dimaklumkan model itu didapati dalam empat varian iaitu 2.0L, 2.0 High, 2.0L High+ dan 2.0L High+ Premium.
Penulis difahamkan Mazda CX-30 ini telah direka untuk memberi inspirasi pada kreativiti dalam masa yang sama menawarkan sebuah SUV kompak yang serba lengkap untuk aktiviti harian yang aktif.
Model ini juga telah mendapat pengiktirafan dengan memenangi kategori Red Dot Design for Passenger Car 2020.
Mazda CX-30 dikenali kerana gaya rekaan Kodo yang menarik dan pemanduan dinamik yang ditawarkan.
Ketika pandu uji Mazda CX-30 varian 2.0L High+ baru-baru ini, penulis bersetuju apa yang diuar-uarkan dalam kenyataan sebelum ini.
Pada bahagian luaran, jeriji gril baharunya diapit dengan lampu LED dengan Signature Illumination, manakala pelapis hitam pada bahagian bawah menyerlah imej SUV pada model ini.
Bahagian sisinya diserikan dengan penggunaan rim bersaiz 18 inci bersama tayar 215/55. Rekaannya ringkas ibarat sebuah hatchback yang tinggi.
Bahagian belakang turut menggunakan lampu LED dengan Signature Illumination dan dua ekzos berkembar memberikan imej sporty.

Model ini menggunakan enjin SKYACTIV-G 2.0L dan transmisi SKYACTIV-DRIVE enam kelajuan dengan mod manual.
Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 162hp pada 6,000rpm dan tork tertinggi pada 213Nm pada 4,000rpm. Sekadar makluman, model ini menggunakan tangki petrol bersaiz 51 liter.
Masuk ke ruang kabin pula, ia cukup ringkas tetapi kemas dan dalam masa sama nampak premium.
Penulis suka ruang kokpit SUV ini kerana pada ruang tengah papan pemuka hanya butang kawalan penghawa dingin, lampu kecemasan, pemanas cermin dan butang penghidup enjin sahaja diletakkan.
Butang-butang lain untuk kawalan sistem infotainment seperti radio dan navigasi serta butang mod sport terletak di konsol tengah antara pemandu dan penumpang hadapan bersama parkir brek elektronik.
Pada bahagian atas papan pemuka terletak skrin berukuran 8.8 inci untuk memaparkan kawalan Commander Control Knob.
Tempat duduk dengan rekaan sporty ini juga selesa dan cukup untuk mengampu saya yang badan tidaklah berapa kecil ini.

Ruang simpanan yang terletak di bawah perehat tangan juga ada cara untuk membukanya. Tolak kebelakang dulu dan baru buka ke atas. Elemen-elemen seperti ini nampak biasa sahaja tetapi ia memberikan rasa premium pada orang yang menggunakannya.
Ruang tempat duduk belakang secara jujurnya sedikit sempit jika saya pemandu dan penumpang belakang juga bersaiz sama tetapi corong penghawa dingin di bahagian belakang suatu yang menarik.
Untuk pasangan muda yang membeli kereta ini, jangan risau kerana ia juga hadir standard dengan fungsi ISOFIX.
Ruang simpanan Mazda CX-30 ini menawarkan ruang untuk meletak barang bersaiz 430 liter.
Ciri-ciri keselamatan pula, ia hadir dengan Mazda i-Activsense seperti Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Lane Departure Warning System (LDWS), Lane-Keep Assist System (LAS), Driver Attention Alert (DAA), Smart Brake Support (SBS) dan Mazda Radar Cruise Control dengan Stop & Go function (MRCC).
Kesimpulannya, model ini boleh dimasukkan dalam senarai pilihan sekiranya pembeli berhajat untuk mencari sebuah SUV yang tidak berapa besar dan menawarkan rekaan menarik serta pemanduan seperti sebuah kereta.
Bagi saya, Mazda menawarkan rekaan yang mirip dengan mana-mana model tanpa meletakkan elemen-elemen pelik, namun sudah cukup untuk membuatkan kehadirannya disedari.














