USAI Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) politik Malaysia bukan lagi seperti yang kita biasa lalui. Lihat sahaja berapa ramai pula Perdana Menteri bertukar dalam tempoh tersebut sementara menanti PRU15 tahun lalu.
Institusi Perdana Menteri (PM) terus menjadi ‘serangan’. Naratif yang dibawa adalah Perdana Menteri sudah tidak mendapat kepercayaan ahli Dewan Rakyat atau hilang kepercayaan rakyat. Menurut Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai ketua negara.
Menurut Perkara 43(2) pula, Perdana Menteri haruslah dilantik daripada kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka Baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut.
Seperti yang kita semua sedia maklum jawatan itu sendiri menjadi dambaan ahli-ahli politik. Jadi dalam beberapa tahun ini rakyat dapat melihat betapa mudahnya ‘menukar’ PM.
Memetik titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika pembukaan penggal Parlimen ke-15 pada 13 Februari lalu. Agong menzahirkan harapan supaya pentadbiran PM ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terakhir sebelum kembali ke Pahang tahun depan.
Seri Paduka Baginda juga menjadi satu-satunya Agong yang menaungi negara dengan empat Perdana Menteri serta empat jemaah menteri berlainan. Bermula peletakan jawatan Perdana Menteri ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 24 Februari 2020.
Anwar juga mengiyakan terdapat cubaan pihak tertentu untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
Kita sendiri dapat merasai dampak negatif ketidakstabilan politik ini. Betapa ekonomi kita merudum beberapa tahun ini, antaranya akibat kurang keyakinan pelabur asing. Mereka juga berhati-hati dengan ‘khabar-khabar angin’, secara logiknya siapa mahu melabur dalam pasaran yang tidak stabil.
Menurut analisis firma CGS-CIMB pada setakat Jun 2021, ketidakstabilan politik antara tiga punca selain sekatan pergerakan terhadap perniagaan dan kelemahan ringgit yang menjejaskan sentimen pasaran.
Seperti simpulan bahasa Inggeris run around in circles. Memetik laporan Reuters, ringgit menurun hampir enam peratus pada separuh pertama 2023, mendahului kejatuhan mata wang negara Asia lain.
Tidak lama lagi sudah mahu Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri. Ini gelanggang penting. Perikatan Nasional (PN) sedang dalam gelombang seperti PRU15 di lokasi majoriti Melayu.
Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) juga perlu mempertahankan ‘kewibawaan’ mereka. Ada desas-desus mengatakan landskap politik peringkat Persekutuan bergantung kepada PRN kali ini. Jujurnya penulis sebagai rakyat pun sudah penat dengan percaturan politik negara.
Memetik titah Seri Paduka Baginda; “Secara ikhlas, beta berharap Perdana Menteri ke-10 ini adalah yang terakhir buat beta, sebelum beta berangkat pulang ke negeri Pahang Darul Makmur.
“Namun, ini semuanya adalah ketentuan Allah SWT. Manusia merancang, Allah menentukan segalanya,” titah baginda. Menjunjung kasih Tuanku! -KOSMO! ONLINE














