fbpx

Mayat budak, bapa saudara ditemui lepas 38 jam hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis dan bomba mengangkat mayat salah seorang mangsa yang ditemui selepas hilang di Sungai Kelantan dekat Kampung Pasir Pekan Hulu, Tumpat hari ini. - Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI / KOSMO!

TUMPAT – Selepas hampir 38 jam hilang, mayat seorang budak lelaki dan bapa saudaranya yang hilang selepas bot dinaiki mereka tiba-tiba rosak di Sungai Kelantan dekat Kampung Pasir Pekan Hulu di sini kelmarin dijumpai pagi tadi.

Mayat Amrullah Fitri Afendi, 10, ditemui oleh anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) pada pukul 8.15 pagi tadi manakala bapa saudaranya, Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, kira-kira 50 minit kemudian.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, mayat kanak-kanak itu dijumpai kira-kira 900 meter dari pusat kawalan tempat kejadian (PKTK) yang dibuka di Sungai Kelantan.

“Wan Muhamad Najmi pula ditemui pada jarak 1.1 kilometer dari PKTK.

“Mayat kedua-dua mangsa didapati terapung di permukaan sungai oleh anggota PPDA,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian hari ini.

Amran memberitahu, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tumpat di sini untuk proses dibedah siasat.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa ditamatkan selain PKTK di lokasi kejadian juga ditutup sepenuhnya pagi tadi.

Sementara itu, bapa Amrullah, Afendi Ismail, 43, berkata, dia bersyukur apabila anak dan adik iparnya ditemui apabila 38 jam hilang selepas terjatuh dari bot yang dinaiki mereka di Sungai Kelantan kelmarin.

Katanya, sejak kehilangan kedua-dua mangsa, dia dan seluruh ahli keluarga sentiasa berdoa termasuk mengadakan solat hajat di lokasi kejadian.

Menurutnya, jenazah Wan Muhamad Najmi akan dikebumikan di sebelah pusara isterinya, Allahyarham Nor Awadah Sulong yang turut maut dalam tragedi tersebut di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kutan Sungai di sini.

Katanya, jenazah Amrullah Fitri akan dikebumikan di Kampung Patek, Kadok hari ini selepas solat zuhur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI