PETALING JAYA – SOCC Holdings Sdn. Bhd. melalui anak syarikatnya, SOCC Offshore Sdn. Bhd. (SOCC Offshore) yang terlibat dalam perkhidmatan katering di pelantar dan kapal mengunjurkan pertumbuhan pendapatannya sebanyak 30 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.
Pengarah Urusannya, Amin Aznizan berkata, potensi pertumbuhan itu bakal disumbangkan oleh inisiatif syarikat untuk menambah pelanggan baharu dan mendapatkan lebih banyak kontrak baharu dalam bidang katering di luar negara.
Menurut beliau, sebagai permulaan, syarikat telah berjaya mendapatkan kontrak baharu daripada sebuah syarikat di Arab Saudi dengan menyediakan perkhidmatan katering kepada sebuah pelantar minyak di rantau sana.
“Kami akan memulakan operasi pada Julai ini dan memandangkan ia adalah pasaran baharu, maka kami perlu melakukannya pada peringkat asas terlebih dahulu.

“Ia berbeza dengan perkhidmatan sedia ada kami di Malaysia yang mana semua operasi dan rangkaiannya sudah berjalan lancar sejak dahulu lagi.
“Nilai kontraknya kecil, tetapi kami menjadikan ia sebagai platform permulaan untuk kami terus meneroka bidang berpotensi ini di luar negara,” katanya ketika di temu bual di pejabatnya di sini baru-baru ini.
SOCC Offshore kini memiliki beberapa pelanggan dengan tempoh perkhidmatan kontraknya telah melebihi daripada 10 tahun, malah akan diperbaharui untuk jangka masa panjang
Syarikat yang kini menawarkan perkhidmatan kepada 13 pelantar dan juga kapal di perairan Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah dan Labuan bercadang untuk menggandakan jumlah tersebut pada tahun depan.
Amin menjelaskan, hasil kontrak katering baharu di Arab Saudi itu dijangka menyumbang kepada pendapatan SOCC Offshore dalam keputusan kewangan tahun 2024.
Tambahya, selepas kejayaan tersebut, syarikat juga berminat untuk meneroka peluang baharu di pasaran Indonesia dengan menyertai mana-mana tawaran bidaan pada masa hadapan.














