Aplikasi Muslim Pro menyediakan pelbagai maklumat berguna kepada masyarakat muslim untuk melakukan ibadah di mana sahaja mereka berada.

150 juta muat turun aplikasi Muslim Pro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Muslim Pro sebuah aplikasi gaya hidup muslim terkemuka kini, telah berjaya meraih kejayaan menggalakkan apabila lebih daripada 150 juta muat turun direkodkan di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bersama Bitsmedia, Fara Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 12 juta muat turun adalah daripada pengguna di Malaysia.

“Berkat sokongan pengguna terhadap aplikasi kami, Muslim Pro merupakan aplikasi mudah alih nombor satu yang paling banyak dimuat turun di Malaysia sepanjang Ramadan lalu dalam semua kategori,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

Bitsmedia adalah syarikat induk bagi Muslim Pro dan Qalbox iaitu perkhidmatan penstriman, yang telah diperkenalkan ke dalam aplikasi berkenaan pada bulan Disember tahun lalu.

Muslim Pro ini bermula pada tahun 2009, sebagai satu cara untuk memudahkan berjuta-juta umat Islam untuk beribadah di mana jua mereka berada.

Sejak itu, aplikasi tersebut telah diterjemahkan ke dalam 22 bahasa dengan lebih daripada 60 terjemahan al-Quran tersedia dalam aplikasi tersebut.

Fara menjelaskan, bersandarkan kepada perkembangan yang menggalakkan itu, syarikat sedang dalam usaha untuk ­menyusun pelbagai perancangan perkembangan untuk tempoh 12 bulan akan datang.

Mengulas lanjut, CEO Bersama Bitsmedia, Nik Emir Din menjelaskan, bagi merealisasikan usaha untuk meluaskan operasi di Malaysia, syarikat sedang mencari pembiayaan tambahan untuk mempercepatkan rancangan pertumbuhan selain mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam bidang tersebut.

Sebelum ini pada suku keempat tahun lalu, syarikat telah mendapat pembiayaan daripada rakan kongsi tempatan seperti Bintang Capital Partners dan Penjana Kapital Sdn. Bhd.

Tambah beliau, syarikat juga menghargai atas usaha sama yang terjalin dengan syarikat seperti Maxis dan Viu Malaysia yang memainkan peranan pen­ting dalam kejayaannya selama ini.

“Sehubungan itu, Muslim Pro merancang untuk mengambil langkah yang besar dengan melipatgandakan pasukan tempatan mereka tiga kali ganda dalam tempoh 24 bulan akan datang,” ujarnya.

Sehingga kini, Bitsmedia telah membelanjakan lebih daripada RM3 juta untuk bekerjasama dengan penyedia kandungan Malaysia, rumah produksi, dan syarikat pasca produksi untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kandungan bagi rantau ini dan juga di peringkat global.

Dalam rancangan masa hadapan, Muslim Pro bercadang untuk memperuntukkan 50 peratus daripada bajet kandungan tahunan yang akan datang kepada pasaran Malaysia.

Ini akan dapat mengukuhkan komitmen mereka terhadap kerjasama dengan bakat-bakat tempatan dan membina perkongsian kandungan yang kukuh, selaras dengan aspirasi jangka panjang Muslim Pro dan Qalbox menjadi jenama yang dikenali ramai. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN