fbpx
SITI SHAHRIZAH atau lebih dikenali sebagai Eja bercakap tentang pengorbanan terbesar yang telah dilakukan dalam hidupnya.

Saya hampir gila – Eja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

EJA mengakui separuh jiwanya hilang saat mengambil keputusan mengundurkan diri daripada industri dunia hiburan bagi mencari reda Allah

Saat namanya berada di puncak populariti, kelibat pelakon jelita yang sinonim dengan perwatakan lemah lembut itu tiba-tiba ghaib.

Perlahan-lahan, keberadaannya dalam industri semakin pudar daripada radar. Ke manakah menghilangnya aktres yang pernah dijoloki sebagai ‘ratu telenovela’ itu?

Orangnya masih ada. Sihat dan kekal jelita seperti dahulu. Cuma dirinya kini tidak lagi aktif menghiasi kaca televisyen dengan deretan drama ‘air mata’.

Keputusan pemilik nama pentas, Eja untuk mengundurkan diri daripada kemasyhuran dunia glamor bukan suatu hal yang mudah.

Bahkan, sewaktu memenuhi jemputan HibGlam menjayakan sesi fotografi istimewa sempena Aidiladha baru-baru ini, Eja mengakui, separuh jiwanya hilang.

Dia bahkan hampir ‘gila’ saat mengambil keputusan ‘berehat’ daripada bergelar anak seni.

“Saya hampir gila sebab berbelah bahagi. Rasa keliru ketika mula-mula ambil keputusan untuk berundur.

“Hati berbolak-balik dengan keputusan yang dibuat untuk berhenti berlakon saat nama berada di puncak populariti,” ujarnya lembut.

Melanjutkan bicara, pemilik nama lengkap Siti Shahrizah Saifuddin bagaimanapun berlapang dada dan reda dengan keputusan untuk berkorban, bukan sahaja demi kebaikan diri, bahkan untuk keluarga terutama anak tunggalnya, Nur Eishal.

Kata Eja, dalam hidup, pengorbanan itu penting. Malah, dia juga percaya setiap orang pernah berkorban untuk sesuatu yang mereka sayangi dan kasihi.

SUATU ketika dahulu, Eja pernah jatuh sakit apabila diserang masalah atritis atau radang sendi, sehingga menyekat keinginannya untuk mendapat lebih daripada seorang cahaya mata.

Korban seni

“Sama seperti saya. Berkorban demi anak. Selepas melahirkan Nur Eishal pada 2009, saya mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada keluarga.

“Saya menimang cahaya mata sulung pada usia 37 tahun. Memang agak lewat. Justeru tidak salah jika saya ambil keputusan berat melepaskan kemasyhuran yang sedang dinikmati demi keluarga,” katanya.

Saat dirinya tekad mengundurkan diri daripada bidang lakonan, Eja tidak dapat menipu diri. Sungguh, hati perempuannya berbelah bahagi.

Bohonglah jika Eja menafikan tidak berasa sedih dengan keputusan yang dibuat sehingga sebahagian jiwanya terasa hilang.

“Macam-macam perasaan saya ketika itu. Rindu, sebak, sedih. Memang saya ambil masa untuk terima keputusan yang dibuat.

“Melihat keadaan saya yang tidak menentu, suami akhirnya mencadangkan supaya saya buat sesuatu dan akhirnya saya menemui ketenangan yang dicari dengan cara mendalami ilmu al-Quran.

“Alhamdulillah, sudah enam tahun saya mengikuti kelas pengajian agama (al-Quran),” katanya.

MENjadi anak seni tidak kotor. Atas pegangan tersebut, Eja tetap menyokong perjuangan rakan-rakannya yang masih berada dalam industri biarpun tidak lagi aktif berlakon.

Gelaran ‘ratu’

Sambil memandang anak tunggalnya yang setia menemani di sisi, Eja berkata, pengorbanan yang dilakukan sekitar lapan tahun dirasakan berbaloi, apabila melihat Nur Eishal kini tumbuh menjadi remaja yang boleh dibanggakan.

“Alhamdulillah, sekarang saya rasa berbaloi dengan pengorbanan yang dibuat. Bila perhatikan anak saya daripada segi pelajaran dan pergaulannya, saya rasa ‘sejuk’. Mudah-mudahan sampai bila-bila,” katanya.

Puasnya melihat tumbesaran anak di depan masa, begitu juga puasnya hati Eja selepas lebih 20 tahun berkecimpung dalam industri seni hiburan tanah air.

Mungkin ada generasi hari ini tidak tahu, sebelum Rozita Che Wan (Che Ta), Eja terlebih dahulu memegang gelaran ‘ratu bulu mata’ selain juga dilabel ‘ratu telenovela’.

Pengiktirafannya sebagai pelakon wanita terbaik juga pernah diraih, masing-masing menerusi Anugerah Festival Filem Malaysia ke-24 dan Anugerah Skrin 2011 untuk filem Janin.

Selain diiktiraf terbaik, Eja juga pernah diangkat sebagai antara selebriti wanita paling jelita di Malaysia.

“Jadi apa lagi yang saya mahukan? Walaupun trofi saya tidaklah begitu banyak, cuma ada lima buah sahaja, tapi sekurang-kurangnya ada.

“Bila duduk-duduk di rumah dan terpandang anugerah yang pernah dimenangi, saya rasa puas pernah melalui zaman gemilang,” katanya.

Meniti usia 52 tahun, Eja turut bersyukur dikurniakan tubuh badan yang sihat. Malah, tidak keterlaluan jika dirinya masih layak dipuji kekal jelita.

Berkongsi rahsia yang diamalkan, sejak dari zaman ketika masih bertugas di awan biru sebagai pramugari, Eja mengakui sangat menjaga soal pemakanan yang masuk ke dalam tubuhnya.

EJA mempraktikkan amalan meneliti setiap label yang ada pada produk makanan walaupun dilihat cerewet kerana mengambil berat tentang kandungan yang masuk ke dalam tubuhnya.

Kekal jelita

“Sejak zaman anak dara lagi sebenarnya saya sangat menjaga soal pemakanan. Orang yang kenal saya tahu, saya akan berhenti makan sebelum kenyang.

“Alhamdulillah, kesannya kita akan rasai pada kemudian hari. Sebenarnya saya tidak suka makan makanan barat. Saya lebih suka makanan Melayu, ulam-ulaman dan makanan berempah.

“Tapi sekali sekala makan makanan segera, bolehlah. Ikut tekak suami dan anak,” katanya berseloroh.

Untuk rutin penjagaan kulit pula, Eja kini cuma mengamalkan produk berasaskan organik yang tidak mengandungi bahan kimia.

Menjalani kehidupan sederhana bersama suami dan anak, Eja yang kini mengusahakan perniagaan sejak dua tahun lalu berasa sangat bahagia.

“Kehidupan sederhana itu sangat bahagia. Kalau dahulu saya memang boros berbelanja. Tapi sekarang, baru saya sedar semua itu cuma satu pembaziran,” jelasnya.

Tidak menyatakan apa-apa janji untuk kembali semula dalam arena seni hiburan, Eja menegaskan dia tidak berani untuk berkata bahawa dirinya sudah 100 peratus berhenti bergelar anak seni.

“Saya lebih selesa guna perkataan ‘berehat’. Perancangan Allah SWT di kemudian hari, kita tidak tahu.

“Cuma buat masa sekarang, saya selesa dengan kehidupan begini,” ujarnya menutup perbualan.

Foto
MUHAMAD
IQBAL ROSLI
Solekan
EL MANDA ZUHAIRY
(@elmandazuhairy)
Tatarias
DEAN ISHAK
(@deanishak)
Busana
POYA dan MYRAVALLYN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN