fbpx

Kompaun pakaian tak sopan jejas pelancongan negeri – King Sing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
King Sing.

PETALING JAYA – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan, jika kejadian kompaun wanita bukan Islam yang dikatakan berpakaian tidak sopan berulang, ia boleh menjejaskan sektor pelancongan negeri.

Katanya menerusi Facebook, ini kerana keadaan itu memberi kerisauan dan impak besar kepada penduduk tempatan serta para pelancong.

“Saya sekali lagi ingin mengingatkan semua pihak tidak kira parti, agama atau bangsa bahawa Malaysia merupakan negara bermasyarakat majmuk.

“Lainlah kalau wanita tersebut tidak berpakaian, tambahan pada ketika itu dia berada di dalam premis perniagaan sendiri, bukannya di kawasan tumpuan awam seperti bangunan kerajaan yang memerlukan orang awam mematuhi kod etika berpakaian,” katanya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang peniaga wanita bukan Islam di sebuah kedai pakaian di Jalan Merbau di Kota Bharu dikompaun oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), selepas didapati memakai seluar pendek paras punggung.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Rosnazli Amin berkata, kompaun itu dikeluarkan oleh anggota penguat kuasa mengikut Seksyen 34(2)(b) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKB-BRI) 2019.

Dalam pada itu, King Sing turut meminta supaya pemimpin Pas belajar daripada Arab Saudi yang dikatakan tidak menafikan hak mereka yang berbeza agama.

“Saya ingin mengajak semua khususnya pemimpin Pas agar belajar daripada negara Islam berkuasa besar di seperti Arab Saudi yang maju dan berkembang dalam sektor pelancongan tanpa menafikan hak orang lain yang berbeza agama.

“Sekali lagi ditegaskan bahawa saya sebagai golongan bukan Islam tidak sesekali menafikan atau mempersoalkan mana-mana agama atau kaum di negara ini.

“Sebagai warganegara Malaysia yang cintakan tanah airku, saling hormat menghormati, meraikan kepelbagaian serta saling berkasih sayang, kita perlu mendokong Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kekuatan Malaysia,” tegasnya.

Menerusi hantaran sama, beliau turut berkongsi Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa, Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

“Perkara 8 juga jelas menunjukkan bahawa kesamarataan dilindungi dan mengharamkan sebarang diskriminasi termasuk atas alasan agama, keturunan, tempat lahir mahupun jantina.

” Ini mencerminkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang agama dan kaum yang aman sentosa,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI