fbpx

KPDN sekat kes seleweng gas petroleum cecair bernilai RM 1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ariffin bercakap pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Jualan Rahmah di Sentul, Kuala lumpur hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai terbabit dalam penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi bernilai RM1 juta di sebuah stor penyimpanan gas berlesen di Setapak, di sini baru-baru ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin berkata, serbuan dilakukan hasil daripada risikan yang dibuat selama empat hari.

Katanya pihaknya telah mengemukakan notis kepada pemilik premis iaitu lelaki tempatan berusia 40-an untuk membekalkan dokumen berdasarkan peruntukan perundangan kepada pemegang lesen barang kawalan sebelum serbuan dilakukan.

“Hasil maklumat yang diperolehi, pihak kami telah membuat serbuan dan menganalisa dokumen-dokumen berkaitan dan terdapat penemuan mencurigakan di mana pihak premis tidak merekodkan pembelian dan gagal menyelenggara buku stok seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Hasil semakan dokumen pembekalan Gas LPG bagi tahun 2023 iaitu bermula pada Januari 2023 sehingga Jun 2023, pihak kami mendapati peniaga berkenaan gagal merekodkan pembelian melibatkan 345 transaksi yang berjumlah RM1.7 Juta secara keseluruhan,” katanya ketika sidang akhbar selepas majlis perasmian Jualan Rahmah di Sentul, di sini hari ini.

Ariffin berkata, satu kesalahan disyaki telah dilakukan oleh peniaga berkenaan kerana gagal menyelenggara 345 transaksi dalam buku stok sepanjang tahun 2023.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 bersama dengan Peraturan 13(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Pihak KPDN WPKL juga akan membuat semakan semula pelesenan yang dimiliki oleh syarikat ini jika terdapat pelanggaran yang dilakukan oleh pemilik premis,” jelasnya.

Katanya, maklumat awal yang diperolehi menyatakan premis berkenaan terlibat dalam aktiviti pembekalan Gas LPG bersubsidi kepada pihak ketiga bagi tujuan penyelewengan subsidi di sekitar Lembah Klang.

“Selain itu, siasatan juga akan dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

“Jumlah ketirisan subsidi bagi kes ini dianggarkan RM1 Juta (Satu Juta Ringgit Malaysia) berdasarkan analisa awal yang dilakukan oleh pihak kami,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI