PUTRAJAYA – Seramai 175,575 pelajar sekolah di seluruh negara menjadi mangsa buli dengan pelbagai cara termasuk mempersendakan wajah hodoh dan badan yang gemuk selain diejek kerana perwatakan lemah lembut bagi golongan lelaki.
Daripada jumlah itu, pelajar lelaki paling kerap dibuli apabila seramai 93,300 mangsa mendedahkan pernah menghadapi masalah sosial tersebut.
Statistik yang didedahkan menerusi dapatan Tinjauan Kesihatan dan Morbiliti Kebangsaan 2022 Kementerian Kesihatan (KKM) itu turut mendapati, gejala buli dilaporkan tertinggi dalam kalangan pelajar tingkatan satu.
Bercakap kepada Kosmo!, KKM berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 93,300 remaja lelaki atau 9.1 peratus dilaporkan pernah dibuli, manakala sejumlah 82,275 atau 8 peratus melibatkan remaja perempuan.
“Kejadian buli tertinggi berlaku dalam kalangan pelajar tingkatan satu yang mana dapatan prevalen buli dalam kumpulan itu menunjukkan sebanyak 12.1 peratus iaitu lebih tinggi daripada pelajar tingkatan lain.
“Jadi, dianggarkan kira-kira 53,335 pelajar tingkatan satu menghadapi masalah buli melibatkan pelbagai cara termasuklah mempersendakan rupa dan bentuk badan,” katanya.
Mengulas mengenai cara paling biasa untuk golongan itu dibuli, KKM memberitahu, mempersendakan rupa dan bentuk badan mencatatkan jumlah tertinggi apabila merekodkan sebanyak 26.7 peratus.
Katanya, kejadian buli dengan melibatkan kaedah-kaedah lain pula merekodkan 20.2 peratus.
“Seterusnya, perbuatan seperti perbualan berbaur seks dan memberi isyarat lucah pula mencatatkan 16 peratus, manakala meninggalkan aktiviti dengan sengaja dan tidak mengendahkannya pula kira-kira 13 peratus.
“Cara buli dengan mempersendakan warna kulit, keturunan dan kewarganegaraan pula merekodkan sebanyak 11.7 peratus,” jelasnya.
Dalam pada itu, bercakap mengenai buli siber, KKM memberitahu, dianggarkan seramai 235,383 remaja lelaki dan 144,003 remaja perempuan berdepan masalah itu di negara ini.
Antara aktiviti pembuli siber yang biasa dilakukan ialah membuat komen tidak sopan secara online iaitu 11.3 peratus, menyebarkan khabar angin (6.9 peratus) selain menghantar atau memuat naik gambar yang memalukan orang lain (4.8 peratus).
“Selain itu, meminta seseorang untuk bercakap tentang seks secara dalam talian pula merekodkan sebanyak 1.8 peratus, manakala meminta seseorang melakukan sesuatu yang seksual pula sekitar satu peratus,” jelasnya.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad berkata, perkembangan psikososial dalam menempuh kematangan menjadi penyebab buli.
“Pada usia itu, mereka mengalami krisis dan kekeliruan identiti seperti mahu menunjukkan kuasa serta kawalan ke atas rakan sebaya yang lebih lemah sebagai sasaran.
“Pelbagai persoalan juga bermain di fikiran remaja sehingga menunjukkan kuasa dengan membuli rakan lain kerana merasakan satu kepuasan demi mendapatkan perhatian,” ujarnya.
Susulan tindakan itu, katanya, mangsa buli berisiko berdepan masalah psikologi dan kesihatan mental seperti kecelaruan identiti serta kemurungan.
“Antara kesan jangka pendek adalah berlakunya perubahan sikap mendadak seperti cepat marah, sedih, takut, sensitif, mudah cemas serta membuat tuntutan yang tidak munasabah kepada kedua-dua orang tua mereka.
“Bagi kesan jangka panjang pula, mangsa berupaya mengalami kecelaruan, kebimbangan dan kemurungan sehingga boleh mencederakan diri tanpa niat termasuk membunuh diri.
“Kesannya dapat dilihat terhadap penurunan prestasi akademik mangsa dan mereka mungkin menjadi antisosial dalam konsep interaksi bersama elemen persekitaran,” ujarnya.
Katanya, tindakan segera membawa mangsa mendapatkan rawatan psikologikal dan psikososial juga penting bagi mengawal serta mengubah tingkah itu daripada berterusan.
“Jika ia tidak dibendung, mangsa buli berpotensi menjadi pembuli kerana kitaran tingkah laku agresif telah menebal dalam hidup mereka terutama jika pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga,” katanya.














