fbpx
GAMBAR HIASAN

Negara dalam bahaya jika rakyat tak percaya PDRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Pada Jumaat lalu, tercatat dalam kalendar khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai pelantikan dua jawatan tertinggi pasukan keselamatan itu iaitu Ketua Polis Negara (KPN) dan Timbalan KPN.

Maklumat bertiup kencang sebelum ini bahawa Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani akan melepaskan jawatan nombor satu PDRM secara kontrak lebih awal empat bulan.

Semua teka-teki terjawab apabila Razarudin dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang ke-14 dalam satu pengumuman yang dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Rabu lalu.

Jawatan Timbalan KPN pula diisi oleh Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay yang sebelum ini merupakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Pelantikan kedua-dua individu terpenting dalam pasukan Sang Saka Biru ini sudah pastinya mendapatkan reaksi yang berbeza daripada orang ramai.

Kedua-dua mereka mempunyai latar belakang yang berbeza, tetapi dilihat ada persamaan iaitu ketegasan.

Jadi tidak hairanlah ramai yang menganggap kedua-dua individu tersebut merupakan ‘duo’ atau gandingan mantap untuk meneruskan kecemerlangan dalam pasukan PDRM.

Saifuddin memaklumkan pengalaman Razarudin dan Ayob Khan amat diperlukan dalam menerajui institusi penguatkuasaan terulung di negara ini.

Beliau yakin kualiti kepimpinan yang ditunjukkan kedua-dua individu tersebut melayakkan mereka meneraju PDRM.

Tanggungjawab berat kini berada di bahu kedua-dua pegawai tertinggi tersebut.

Lebih banyak mata yang akan melihat dan menilai prestasi mereka bukan sahaja dalam menjaga ketenteraman dan keselamatan negara, tetapi juga isu dalaman PDRM.

Isu-isu besar melibatkan keselamatan di sempadan, pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang masih lagi menjadi musuh nombor satu negara antara yang perlu ditangani.

Paling penting adalah berkenaan dengan trust atau kepercayaan masyarakat negara ini terhadap pasukan polis dan perkhidmatan yang mereka berikan.

Apabila masyarakat sendiri kurang mempercayai PDRM, ia sesuatu yang perlu dipandang serius.

Selain itu, antara isu lain yang perlu diberi perhatian adalah dengan mengambil tindakan ke atas pegawai dan anggota polis sekiranya terbabit dalam salah laku termasuk rasuah.

Viral atau tular menjadi senjata utama masyarakat ketika ini seperti yang berlaku ke atas seorang pegawai polis wanita di Selangor baru-baru ini yang mana akhirnya membawa kepada pertuduhan di mahkamah.

Memang sukar untuk memuaskan hati semua pihak, yang penting menjalankan amanah dengan sebaik mungkin untuk menjadi pegawai yang terbaik antara yang terbaik.

Tahniah Tan Sri Razarudin dan Datuk Seri Ayob Khan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN