fbpx

Permintaan Azizulhasni tidak melampau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIZULHASNI mengakui tuntutan yang dikemukakan tidak melampau dan mampu membuatkan dirinya terus fokus memburu emas di Olimpik.

PERMINTAAN Datuk Azizulhasni kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidaklah terlalu ‘melampau’ memandangkan jaguh berbasikal trek negara itu hanya mahu yang terbaik terutama bagi  menghadapi temasya Sukan Olimpik Paris tahun depan. 

Semangat Azizulhasni ketika ini melonjak naik apabila pelumba berusia 35 tahun itu menoktahkan kemenangan dengan meraih emas dalam acara pecut dan keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) baru-baru ini.

Azizulhasni yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ membuktikan dia berhak untuk mendapat kesemua keistimewaan dalam program elit sukan negara hanya setahun selepas dia terlantar sakit menjalani rawatan pemulihan pembedahan jantung pada April tahun lalu.

Pelumba kelahiran Terengganu itu mendedahkan antaranya permintaannya adalah untuk mendapatkan tempat tinggal yang selesa serta pengangkutan untuk menjalani latihan yang terletak di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Program Road to Gold (RTG) bersetuju meluluskan segala tuntutan yang dikemukakan Azizulhasni selepas jaguh berbasikal trek negara itu meluahkan kekecewaannya di media sosial.

“Saya hanya mengetahui perkara ini (kelulusan dari pihak RTG) melalui berita dan saya masih belum dapat perincian lagi tentang permintaan daripada pihak mereka, mungkin perjumpaan saya bersama koordinator RTG, Datuk Stuart Ramalingam baru saya akan dapat gambaran yang lebih jelas.

“Bila saya balik ke Malaysia, saya minta bantuan dari segi penginapan, rumah. Kerana mengikut konsep asal MSN, atlet akan duduk di hostel, tetapi saya dalam situasi yang berbeza kerana saya sudah berkeluarga, tambahan di sana (Melbourne), saya dapat elaun rumah dan elaun makan,” katanya ketika ditemui dalam program Sambutan Hari Olimpik di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) semalam.

Dalam pada itu, Azizulhasni turut memberi peringatan kepada atlet-atlet muda yang disenaraikan dalam program RTG untuk tidak terlalu selesa dengan segala bentuk bantuan diberikan.

Tegasnya, mereka yang layak berada dalam program khas itu menggalas harapan jutaan rakyat Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.

“Nasihat saya, jangan enak dibuai mimpilah dengan apa yang anda semua dapat kerana macam saya dahulu bermula dengan kosong, program basikal dahulu tidak mendapat bantuan yang penuh, tetapi kita tetap berusaha untuk berikan keputusan yang baik dan dari situ kita dapat yakinkan mereka untuk beri kami bantuan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI