fbpx

99 peratus pengguna domestik tidak terkesan pelarasan tarif elektrik baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Nazmi pada sidang akhbar pengumuman pelarasan tarif elektrik di Semenanjung, hari ini. - Foto oleh FAISOL MUSTAFA / KOSMO!

PUTRAJAYA – Hampir semua pengguna domestik dan pengguna bukan domestik elektrik voltan rendah di Semenanjung tidak akan terjejas dengan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh bermula Julai ini hingga Disember depan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini bermakna sekitar 99 peratus penguna domestik di Semenanjung dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kilowatt per jam (kWj) dan ke bawah tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik.

Beliau berkata, pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif B dan D), tarif pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) pula tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik di mana surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) pada kadar 3.7 sen/kWj dikekalkan.

“Dalam erti kata yang lain, Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk restoran, kedai runcit, bakeri, bengkel-bengkel kecil, petani, penternak, pekebun dan lain-lain perniagaan seumpamanya juga tidak akan mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik.

“Bagi kategori baharu pengguna bukan domestik iaitu operator air dan pembetungan di negeri-negeri pula, mereka akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen/kWj kepada 3.7 sen/kWj.

“Ini bermakna operator-operator air di bawah Kerajaan Negeri akan menikmati surcaj yang lebih rendah untuk tempoh Julai hingga Disember 2023,” katanya pada sidang akhbar pengumuman pelarasan tarif elektrik di Semenanjung di sini, hari ini.

Katanya, keputusan ini adalah selaras usaha kerajaan bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan operator air untuk menyediakan air terawat dan bersih kepada pengguna.

Nik Nazmi berkata, pengguna bukan domestik iaitu pengguna-pengguna bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) daripada kalangan industri pula akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen/kWj kepada 17 sen/kWj.

Menurutnya, ini juga bermakna, pengguna bukan domestik MV dan HV ini akan menikmati penurunan bil elektrik di antara 28 peratus hingga 35 peratus sebulan.

“Selain itu, kerajaan juga menetapkan pengguna-pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tinggi melebihi 1,500 kWj atau bersamaan bil elektrik minimum RM708 sebulan pula akan dikenakan surcaj pada kadar 10 sen/kWj.

“Dianggarkan seramai 83,000 pengguna iaitu 1 peratus pengguna domestik akan mengalami kenaikan bil elektrik bulanan minimum sebanyak RM187 (25 peratus).

“Walaupun berlaku kenaikan bagi pengguna domestik kategori ini, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM58 juta khas untuk kategori ini memandangkan surcaj ICPT tidak dilepaskan sepenuhnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI