fbpx

Lelaki tembak kucing jiran didenda RM20,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIZ TAMBI dijatuhi hukuman denda RM20,000 selepas mengaku bersalah menembak kucing peliharaan jirannya sehingga mati, tahun lalu.

MELAKA – Perbuatan tidak berperikemanusiaan seorang bekas tentera menembak kucing peliharaan jirannya sehingga mati menggunakan senapang angin berbalas apabila didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Aziz Tambi, 63, yang membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan pindaan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan penganiayaan terhadap haiwan iaitu menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor kucing milik Amran Majid, 45, dengan cara menembaknya menggunakan selaras senapang angin.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 2.30 petang di sebuah rumah bernombor, Lorong Mat Lajis, Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah pada 18 Jun 2022.

Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda minimum RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tiga tahun atau kedua-duanya mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).

Terdahulu, Peguam Ishak Mohd. Kari yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan diberikan dengan alasan anak guamnya pernah berjasa kepada negara dan menerima pingat penghargaan, selain telah lama bersabar dengan jirannya itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada masyarakat supaya tidak mengambil tindakan terburu-buru.

Setelah mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM20,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar. Tertuduh kemudian membayar denda tersebut.

Pada 21 Jun tahun lalu, media melaporkan dua beranak ditahan pihak polis selepas disyaki membunuh seekor kucing peliharaan jiran mereka dengan menggunakan selaras senapang angin.

Dalam kejadian sekitar pukul 2.30 petang itu, suspek yang berusia 62 tahun dan anaknya berumur 27 tahun ditahan selepas kucing itu disahkan mati akibat mengalami muntah darah dan luka di belakang badan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati tindakan dilakukan dua beranak itu susulan tidak berpuas hati dengan kucing betina berkenaan masuk ke rumah mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI