PETALING JAYA – Penganjuran konsert penyanyi dalam dan luar negara yang tidak putus-putus ibarat cendawan tumbuh lepas hujan ketika ini menghidupkan semula industri hiburan yang sepi seketika akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.
Antara penyanyi yang menjayakan konsert tahun ini ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ella, Aina Abdul dan Hujan.
Penyanyi luar negara juga tidak ketinggalan mengadakan persembahan di negara ini. Mereka ialah kumpulan Dewa 19, Westlife, Blue, Ungu dan Rossa.
Tahun ini, hampir setiap minggu terdapat penyanyi dari dalam dan luar negara mengadakan konsert masing-masing.
Pengarah Urusan Kumpulan Hitman Group, Rohit Rampal berkata, antara konsert berskala besar yang dianjurkan pihaknya adalah Konsert Jilid Akhir Ella: Puteri Kota, Sanam Live In Malaysia, Blue 20th Anniversary Heart & Soul Tour dan Ne-Yo Live in Malaysia.
“Setiap konsert yang dianjurkan ada keistimewaan yang tersendiri, bukan sekadar untuk menghangatkan suasana atau mengikut trend sahaja.
“Sebagai contoh konsert Ella baru-baru ini, kami memilih beliau kerana ia bersempena ulang tahun 35 tahun bersama peminat,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Mengulas mengenai harga tiket, Rohit memberitahu, jika penyanyi itu mempunyai sokongan kuat daripada peminat, harga tiket bernilai ribuan ringgit bukan isu besar buat mereka.
“Jika mahu mengadakan konsert, kami akan menilai dari segi permintaan kerana mereka (peminat) sanggup melabur demi penyanyi kegemaran.
“Selain itu, harga tiket juga bergantung kepada lokasi, kualiti persembahan dan pengalaman.
“Kami tidak menetapkan harga tiket sesuka hati, jika penyanyi beri persembahan bertaraf premium, ia berbaloi dan bukannya untuk mengejar untung semata-mata,” jelasnya.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim berkata, kerancakan penganjuran konsert artis dalam dan luar negara dijangka berterusan hingga akhir tahun ini.
“Kami menganjurkan konsert kerana ada permintaan. Tanpa mereka (peminat), siapa yang mahu beli tiket? Kadang-kadang, penyanyi luar negara yang kurang dikenali juga ada peminat yang kuat di sini dan tiket laris.
“Harga tiket pula bergantung pada kos keseluruhan termasuk perbelanjaan membawa penyanyi dan lokasi konsert. Kami tidak meletakkan harga sesuka hati,” kata penganjur konsert Simple Plan dan Tulus itu.














