fbpx

Mahkamah: Pembantu tadbir wanita KPKT terima rasuah didenda RM5,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pembantu tadbir wanita di  Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) didenda RM5,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima wang tunai lebih RM4,000 daripada seorang lelaki enam tahun lalu.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Nurul Azirah Kamaruddin, 37, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama sebulan sekiranya denda gagal dibayar dan tertuduh membayar jumlah denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, ibu lima anak yang merupakan seorang penjawat awam iaitu pembantu tadbir perkeranian dan operasi didakwa telah menerima wang tunai RM4,797 daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Wang itu diterima untuk menaikkan jumlah peserta di dalam invois yang dituntut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Desa Jaya, Kepong, di sini, pada 21 April 2018 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira faktor tertuduh merupakan penjawat awam yang seharusnya menjaga nama baik sektor kerajaan.

Peguam Hamdan Hamzah yang mewakili tertuduh memohon hukuman berbentuk denda ringan atas alasan anak guamnya perlu menjaga lima anak yang masih bersekolah dan anak bongsunya menghidap autisme.

“Tertuduh telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama di masa akan datang. Mohon hukuman denda ringan,” kata peguam itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI