KUALA LUMPUR – PHS Automotive Malaysia (PHSAM) telah melancarkan tujuh model elektrik sepenuhnya Audi e-tron untuk pasaran Malaysia pada harga bermula RM383,990.
Menurut kenyataan PHSAM, tujuh model itu terdiri daripada model kenderaan utiliti sukan (SUV), sportback dan coupé empat pintu.
Katanya, rangkaian e-tron itu dibina khas dengan reka bentuk dan prestasi terbaik.
“la nyata mengukuhkan identiti Audi sebagai perintis masa depan dan membuktikan kecanggihan teknologi Audi.
“Q8 e-tron SUV menampilkan reka bentuk aerodinamik yang sangat efisien, rangkaian kuasa yang telah dioptimumkan dengan prestasi pengecasan lebih padu dan kapasiti bateri lebih tinggi, membolehkannya
menawarkan jarak sehingga 582 kilometer (km),” katanya.
Tambahnya, ruang dalaman Q8 e-tron advanced 50 Quattro dan Q8 e-tron S Line 55 Quattro menawarkan pengalaman tempat duduk kelas pertama.
“Apabila kerusi penumpang belakang dilipat, ia mampu menawarkan ruang sehingga 1,725 liter.
“Walaupun mempunyai ciri yang sama dengan model SUV, varian Q8 e-tron Sportback hadir dengan imej lebih sporty menerusi siluet yang elegan dan kemas untuk kecekapan aerodinamik terbaik,” tambahnya.
Jelasnya, setiap pembelian model itu hadir dengan jaminan bateri selama lapan tahun dan jaminan tanpa had perbatuan selama dua tahun dengan pilihan lanjutan sehingga lima tahun dan penyelenggaraan untuk tiga tahun melalui Pakej Jaminan Audi (Audi Assurance Package, AAP).














