PETALING JAYA – P-hailing hanya sesuai dijadikan sebagai pekerjaan sambilan berdasarkan kadar upah dan risiko yang terpaksa dihadapi oleh para penghantar makanan ketika ini.
Pakar ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, pekerja p-hailing perlu mengelak terikat dengan pekerjaan itu, sebaliknya mencari peluang menjana pendapatan lain.
“Jangan anggap p-hailing sebagai kerjaya akhir. Tidak boleh bertekad menjadikan p-hailing kerjaya seumur hidup. Itu tidak logik. Tidak masuk akal seorang berdedikasi mengorbankan (masa dan tenaga) untuk itu.
“Daripada perspektif pekerjaan ia bukan satu pekerjaan tetap. Penghantar makanan tidak boleh menganggap ia sebagai kerja tetap sampai akhir hayat. Mereka terpaksa mengambil risiko bahaya ketika bekerja dan bekerja berbelas jam sehari bagi mendapatkan sejumlah wang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Barjoyai berkata, beliau juga melihat pekerjaan menghantar makanan menggunakan motosikal adalah pekerjaan berbahaya yang tergolong dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).
Menurut beliau, walaupun pekerjaan itu nampak mudah, tetapi ia sebenarnya memerlukan seseorang bekerja kuat setiap hari dengan sepanjang hari mendedahkan diri kepada risiko di atas jalan raya.
“Bekerja di bawah terik matahari menjadikan mereka tidak boleh melakukan kerja dengan cukup teliti. Boleh berlaku kecuaian. Tidak banyak boleh dilakukan (untuk sektor p-hailing) dalam jangka masa pendek kerana kadar upah adalah sesuatu yang dikawal oleh pasaran, kecuali ada satu arahan (pihak berwajib) untuk meningkatkan kadar upah,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan pekerja p-hailing mencari jalan keluar dengan mencipta peluang menjana pendapatan lain supaya tidak seratus peratus bergantung kepada pendapatan menghantar makanan.
“Contohnya, mereka boleh terlibat dalam aktiviti tanaman hidroponik atau ternakan. Begitu juga peluang menjana pendapatan yang lebih sofistikated seperti perniagaan dalam talian atau pelaburan.
Sementara itu, Pensyarah dari Fakulti Pendidikan Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Rafidah Aga Mohd. Jaladin berpendapat, kadar upah yang rendah kepada pekerja p-hailing sehingga memerlukan mereka bekerja lebih 15 jam sehari adalah pendekatan perniagaan yang mengenepikan nilai-nilai kemanusiaan.
Justeru katanya, pekerja p-hailing wajar menilai sama ada pekerjaan mereka itu lakukan kerana terpaksa untuk menampung kehidupan atau sekadar untuk menambah pendapatan bagi memenuhi keperluan.
“Kalau individu itu bekerja untuk menyara hidup kerana memang itu sumber yang dia ada, kalau tidak melakukannya mahu makan apa?. Ini juga bergantung kepada minat.
“Mungkin itu minatnya dan menjadi terapi diri walaupun perlu bekerja lebih masa sehari,” katanya. -KOSMO! ONLINE
















