fbpx

Kerajaan lulus moratorium kepada pembeli pangsapuri PPAM Lembah Sireh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar semasa berucap pada Majlis Penyerahan Kunci RMR, SPNB di Kampung Jaya, Pasir Hor di Kota Bharu hari ini. - Foto oleh ROSMIZAN RESDI / KOSMO!

KOTA BHARU – Kerajaan meluluskan moratorium bagi penjawat awam yang membeli pangsapuri menerusi Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di Lembah Sireh di sini yang terbengkalai sejak tiga tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penangguhan bayaran itu diberikan kepada pembeli yang terlibat sehingga mereka dapat menduduki rumah berkenaan.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat bagi membantu meringankan beban pembeli yang terpaksa menanggung pembayaran pinjaman melalui Lembaga Pembiayaan Pinjaman Sektor Awam (LPPSA).

“Jadi, saya buat keputusan, projek PPAM di Lembah Sireh yang terbengkalai, kita beri pelepasan moratorium selagi rumah berkenaan tidak dapat diduduki.

“Maknanya tidak perlu bayar sekarang. Bayar apabila dapat masuk ke rumah itu,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kampung Jaya, Pasir Hor di sini hari ini.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, 120 pembeli pangsapuri PPAM Lembah Sireh di sini yang terdiri daripada penjawat awam meminta pemaju projek tersebut supaya segera menyiapkan perumahan berkenaan.

Seorang pembeli, Dr. Maryam Azlan, 43, berkata, projek tersebut mula dijual tujuh tahun lalu kepada penjawat awam yang kebanyakannya menandatangani perjanjian jual beli pada 2017 dan 2018.

“Kami faham projek itu tergendala disebabkan pandemik Covid-19, namun sehingga kini rumah tersebut belum dapat disiapkan.

“Projek itu tidak menunjukkan sebarang kemajuan dan berada pada tahap yang sama. Alasan diberikan pihak pemaju adalah tidak cukup pekerja berikutan sekatan kemasukan pekerja asing oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita bersama sekumpulan wakil pembeli PPAM yang lain di Lembah Sireh di sini baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI