fbpx
Suami Intan sering menghabiskan masa memancing bersama rakan-rakan termasuk di tengah laut. – Gambar hiasan

Isteri tertekan hidup dengan kaki pancing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP orang pasti mempunyai hobi tersendiri yang akan dilakukan apabila ada waktu terluang.

Namun begitu, jika seseorang itu terlalu asyik dengan hobinya sehingga melupakan ahli keluarga, ia bukanlah sesuatu yang baik.

Itulah situasi yang dialami oleh seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Intan, apabila suaminya begitu asyik dengan hobinya iaitu memancing.

Malah, hal itu telah menjadi penyebab kepada keruntuhan rumah tangga mereka yang telah dibina hampir lapan tahun.

Berbicara akan hal tersebut, Intan menjelaskan, suaminya memang taksub dengan memancing sehinggakan dia merasakan hampir semua urusan keluarga diuruskan olehnya.

“Sebelum kami berkahwin lagi suami saya memang memiliki hobi memancing. Pada waktu itu, saya tidak kisah kerana kami masih belum tinggal bersama.

“Malah setelah berkahwin, dia masih meneruskan hobinya itu dan saya tidak melarang keinginannya,” katanya yang kini berusia pertengahan 30-an.

Bagaimanapun, lama-kelamaan Intan mendapati suaminya semakin taksub dengan memancing sehingga mengabaikan dirinya.

Intan yang bekerja sebagai penjawat awam menjelaskan, setiap minggu suaminya pasti akan keluar memancing dan jarang meluangkan masa bersama.

Begitu juga setelah Intan melahirkan anak pertama, suaminya menghantar dia pulang berpantang di kampung.

Ia bagi membolehkan suaminya melakukan aktiviti memancing.

“Ketika saya berpantang di kampung, saya dapat tahu bahawa suami mengambil cuti.

“Dia pergi memancing bersama rakan-rakannya di laut selama beberapa hari.

“Saya rasa amat terkilan pada waktu itu kerana dia bukannya memilih untuk pulang ke kampung melawat saya dan anak yang baharu dilahirkan,” terangnya.

Hari berganti hari, suami Intan tetap meneruskan hobi itu tanpa memikirkan perasaannya.

Intan menjelaskan, hal itu menjadi semakin buruk apabila suaminya kehilangan pekerjaan kerana syarikat yang dia bekerja terpaksa ditutup.

Intan berasa tertekan kerana suaminya sering mengabaikan tanggungjawab di rumah.
– Gambar hiasan

Sebelum itu, mereka akan berkongsi untuk membayar komitmen bulanan dan perbelanjaan rumah.

“Setelah diberhentikan kerja, suami saya memilih untuk menjadi penghantar makanan sementara dia mencari kerja baharu.

“Namun, setelah dua tahun, dia tidak serius untuk mencari kerja baharu.

“Sebaliknya, dia lebih suka melakukan kerja menghantar makanan kerana boleh pergi memancing pada bila-bila masa,” terangnya.

Disebabkan itu, suaminya mula culas menunaikan nafkah dan kebanyakan komitmen bulanan diselesaikan oleh Intan.

Kadang-kadang suaminya tidak keluar bekerja dan hanya pergi memancing di pelbagai lokasi sehingga berhari-hari.

“Apabila saya meminta wang kepadanya untuk membayar sebahagian komitmen bulanan dan belanja rumah, suami hanya menjawab, tidak mempunyai duit dan beri sedikit wang sahaja kepada saya.

“Bagaimanapun, membeli alat kelengkapan dan pergi memancing ke laut yang menelan kos yang agak tinggi, dia ada duit pula.

“Malah, saya dapat mengetahui bahawa dia ada membeli alat kelengkapan memancing yang bernilai ribuan ringgit.

“Ini membuatkan saya semakin marah kepadanya,” jelasnya.

Tambahnya, disebabkan hal itu, mereka sering bergaduh antara satu sama lain. Intan ada meminta suaminya lebih memberi tumpuan kepada keluarga berbanding hobinya itu.

Bagaimanapun, nasihat tersebut umpama masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan.

Suaminya langsung tidak mempedulikan nasihat Intan itu.

Terkadang, Intan merasakan seperti menanggung ‘biawak hidup’ di rumah memandangkan suaminya malas bekerja.

“Kadang-kadang suami tidak memberitahu saya langsung bahawa dia akan keluar memancing. Dia hanya beritahu pada hari kejadian.

“Ada ketikanya, suami meminta saya pergi bersendirian bersama anak ke kenduri keluarga.

“Ini kerana dia ingin pergi memancing sedangkan hal itu telah dimaklumkan lebih awal kepadanya,” terangnya.

Lama-kelamaan Intan semakin tawar hati dengan layanan suaminya kerana sering mementingkan hobi daripada dirinya.

Intan sendiri merasakan kebahagian rumah tangganya juga semakin pudar.

“Setelah berfikir panjang dan mengikut kata hati, saya akhirnya mengambil keputusan untuk berpisah dengan suami secara fasakh.

Untuk makluman, fasakh ialah melepaskan ikatan perkahwinan setelah diminta cerai oleh isteri melalui hakim.

“Suami saya mengamuk apabila saya berbuat demikian. Kami bergaduh sehingga dia sanggup naik tangan kepada saya.

“Itu membuatkan saya semakin nekad dengan keputusan untuk berpisah dengan suami,” katanya.

Selepas melalui satu proses yang agak panjang, akhirnya mereka berdua sah berpisah di sebuah mahkamah syariah di Lembah Klang.

Selepas berpisah, Intan merasakan dirinya lebih bahagia ketika ini sambil membesarkan anak seorang diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN