fbpx

110 juta penduduk dunia hilang tempat tinggal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang kanak-kanak Syria berdiri di sebuah kem pelarian di pinggir bandar Raqa, utara negara itu pada 7 November 2022. - AFP

GENEVA, Switzerland – Kira-kira 110 juta penduduk dunia terpaksa berpindah dari tempat tinggal mereka akibat penganiayaan, konflik, keganasan dan pencabulan hak-hak asasi manusia, demikian menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan kelmarin seperti dilaporkan agensi berita Anadolu Agency.

Angka itu adalah peningkatan sebanyak 19.1 juta orang dari penghujung 2021, yang merupakan lonjakan terbesar dicatatkan sejak rekod dimulakan pada 1975.

Pada 2022, kira-kira 108.4 juta orang kehilangan tempat tinggal, dan dengan konflik terbaharu di Sudan, angka tersebut menjadi 110 juta orang pada Mei lepas.

Laporan bertajuk Global Trends in Forced Displacement 2022 dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNCHR) itu mendapati bahawa angka tersebut adalah termasuk 62.5 juta yang menjadi pelarian di negara sendiri, 35.3 juta pelarian luar negara, 5.4 juta pencari suaka dan 5.2 juta orang yang memerlukan perlindungan antarabangsa.

Beban paling berat pula terletak pada bahu negara berpendapatan rendah dan sederhana kerana negara-negara tersebut menjadi tuan rumah kepada 76 peratus pelarian dunia serta individu lain yang memerlukan perlindungan antarabangsa.

Menurut laporan berkenaan, negara paling kurang membangun memberikan suaka kepada 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pelarian, manakala 70 peratus daripada jumlah tersebut mendapat perlindungan di negara jiran mereka.

Laporan itu turut menyatakan bahawa Turkiye mempunyai populasi pelarian terbesar di dunia dengan hampir 3.6 juta orang, diikuti dengan Iran sebanyak 3.4 juta, Colombia sebanyak 2.5 juta dan Jerman seramai 2.1 juta.

Sementara itu, kanak-kanak terdiri daripada 40 peratus daripada jumlah mereka yang terpaksa berpindah, tambah laporan tersebut.

Laporan itu turut menggariskan bahawa 52 peratus daripada semua pelarian dan individu yang memerlukan perlindungan antarabangsa datang dari tiga negara iaitu Syria (6.5 juta), Ukraine (5.7 juta) dan Afghanistan (5.7 juta).

“Dari segi jumlah pelarian di seluruh dunia sahaja, ia meningkat 35 peratus atau 8.9 juta orang kepada 34.6 juta orang pada akhir 2022,” kata laporan berkenaan.

Tambahnya, peningkatan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh pelarian Ukraine yang melarikan diri dari konflik bersenjata di negara mereka.

“Angka-angka ini menunjukkan kepada kita bahawa sesetengah pihak terlalu cepat untuk berdepan dengan konflik tetapi terlalu lambat untuk mencari penyelesaian. 

“Akibatnya adalah kemusnahan, perpindahan dan kesedihan bagi setiap berjuta-juta orang yang berpindah secara paksa dari rumah mereka,” kata Pesuruhjaya UNCHR, Filippo Grandi. 

Laporan tersebut selain itu turut menyebut bahawa kira-kira 467,000 orang melarikan diri dari Sudan sejak pertempuran bermula pada pertengahan April lalu, dengan lebih 1.4 juta kehilangan tempat tinggal.

Sementara itu, mengenai tuntutan baharu, laporan berkenaan mendedahkan Amerika Syarikat adalah penerima terbesar permohonan baharu pelarian individu pada 2022, iaitu seramai 730,400 pemohon. Jumlah keseluruhan pemohon adalah sebanyak 2.6 juta orang.

Jerman berada di tempat kedua dengan menerima permohonan daripada 217,800 orang, diikuti oleh Costa Rica, Sepanyol dan Mexico yang melengkapkan lima negara penerima teratas pelarian global.

Laporan yang sama selain itu turut mencatatkan beberapa kemajuan positif apabila 5.7 juta orang yang terpaksa meninggalkan rumah kembali ke kawasan asal mereka pada 2022.

Dalam masa sama, 339,000 pelarian luar negara turut kembali ke 38 buah negara masing-masing. – AFP/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI