fbpx

Carilah bahagia, bersihkan jiwa, hati – Yusof Haslam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YUSOF HASLAM berharap anak dan bekas menantunya akan tetap berhubungan baik biarpun sudah bercerai.

PETALING JAYA – Penerbit Datuk Yusof Haslam lega apabila kemelut rumah tangga antara anaknya, Syamsul Yusof dengan menantu, Puteri Sarah Liyana Kamaruddin berakhir secara baik.

Katanya, diharap kedua-dua insan disayanginya itu tidak lagi menaruh sebarang dendam, selain
mencari kebahagiaan masing-masing.

“Hidup perlu diteruskan, jangan menoleh ke belakang lagi. Carilah bahagia, bersihkan jiwa dan hati dalam melayari kehidupan.

“Sebenarnya apa yang berlaku tidak boleh kami komen lagi, mereka bercerai dengan baik demi anak-anak. Itu buat saya lega,” katanya menerusi balasan Whatsapp kepada Kosmo! Online.

Pada masa sama, Yusof sekadar berserah kepada Allah andai jodoh Syamsul dan Puteri Sarah kembali bertaut.

“Mereka bercerai talak satu. Jika ditakdirkan mereka bersatu semula, itu hanya Allah yang tentukan,” ulasnya ringkas.

Sebagai orang tua, sutradara berusia 69 tahun itu turut menaruh harapan Syamsul terus melaksanakan tanggungjawab terhadap dua permata hatinya, Syaikhul,6, dan Summayah, 4.

“Saya berharap Syamsul bertanggungjawab pada anak-anaknya,” kata Yusof lagi yang memaklumkan tidak tahu prosiding pengesahan perceraian antara Syamsul dengan Puteri Sarah berlangsung pada pagi semalam.

Baginya, walau ikatan antara Syamsul dan Puteri Sarah sudah terlerai, menantunya itu tetap sebahagian daripada keluarga mereka.

“Puteri Sarah tetap kami anggap menantu, malah hubungan dengan besan kami juga tidak akan terputus kerana anak Syamsul dan Puteri Sarah adalah cucu-cucu kami,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai penerimaan Datin Patimah Ismail terhadap berita perceraian itu, katanya isterinya sedih sehingga menitiskan air mata.

“Tiada yang lebih menyedihkan hati seorang ibu sebaik menantu kami itu menghubunginya sendiri memaklumkan berita tersebut.

“Namun isteri turut minta saya reda, walaupun hakikatnya rasa pedih itu sampai ke ulu hati.

“Apa pun kami tetap doakan kebahagian buat Sarah dan Syamsul,” tambahnya lagi.

Pada masa sama, Yusof juga lebih selesa mengambil pendirian enggan mengulas sama ada pernah berjumpa dengan isteri baharu Syamsul, Ira Kazar atau tidak.

Sebaliknya, pemilik rumah produksi Skop Production itu hanya memaklumkan Syamsul pun sudah lama tidak berhubung dengannya.

Kemelut rumah tangga antara Syamsul dan Puteri Sarah berakhir semalam apabila pasangan sensasi terbabit sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Mohd Yusof, 39, melafazkan cerai talak satu di hadapan hakim syarie Akmalluddin Ilyas, selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Puteri Sarah mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Syarie Akmallluddin kemudian mensabitkan berlaku perceraian talak satu yang berjumlah dua kali dengan kali pertama pada 9 Mei 2015, namun pasangan itu kembali rujuk pada hari sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI