fbpx

Raja Permaisuri Agong berkenan menyempurnakan poliklinik UIAM Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tunku Azizah Aminah Mainumah beramah mesra dengan pesakit yang mendapatkan rawatan di PoPs UIAM, Johor.

PETALING JAYA – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian Poliklinik Primer Sejahtera (PoPS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Bandar Universiti Pagoh, Johor.

Istana Negara menerusi hantaran Facebook memaklumkan, baginda yang juga Ketua Perlembagaan UIAM, turut berkenan berangkat ke Dewan Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) bagi menyaksikan penyerahan replika cek bernilai RM1.8 juta bagi pembangunan PoPS Fasa 1 daripada pihak Yayasan Sime Darby (YSD) kepada pihak UIAM.

“Seri Paduka Baginda juga berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari sempena pelancaran PoPS dan berkenan meluangkan masa melawat pameran di HPTP selain beramah mesra dengan pelajar Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan UIAM.

“PoPS Fasa 1 yang telah mula beroperasi pada November tahun lepas adalah hasil sumbangan dana daripada YSD bertujuan memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada komuniti HPTP dan kawasan sekitar,” menurut hantaran itu hari ini.

Dalam pada itu, PoPS akan memberi manfaat penyediaan rawatan dan khidmat nasihat berkualiti kepada masyarakat sekali gus meningkatkan mutu kesihatan dan kesejahteraan komuniti Pagoh.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda pada pukul 11.50 pagi disambut Presiden UIAM, Tan Sri Samsudin Osman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani dan Rektor UIAM, Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, Ahli Majlis Tadbir YSD, Puan Sri Normah Hashim dan Pegawai Daerah Muar Hasrin Kamal Hashim. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI