fbpx

[VIDEO] ‘Baby’ mengamuk dalam restoran didenda RM300

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Asri ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini. -Foto SADDAM YUSOFF/KOSMO!

SHAH ALAM – Gara-gara mengamuk dalam restoran selepas tidak dipanggil ‘baby’ membuatkan seorang gelandangan didenda RM300 selepas dituduh di Mahkamah Majistret, hari ini.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Mohd. Asri Abdullah, 50, mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan penjara selama tujuh hari sekiranya gagal membayar denda itu.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Asri didakwa melakukan mudarat awam sehingga menyebabkan kegusaran kepada orang awam di sebuah restoran di Putra Height, Subang Jaya pada pukul 9 pagi, 4 Jun lalu.

Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM400 mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 290 kanun sama.

Pada prosiding kira-kira lima minit itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam enggan membuat sebarang rayuan terhadap pertuduhan dihadapinya itu.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman bagaimanapun memohon hukuman setimpal agar tertuduh tidak mengulangi perbuatan sama.

Difahamkan tertuduh telah menjadi penganggur sejak setahun lalu dengan kerja terakhir adalah pemandu lori.

Tertuduh juga dikatakan telah bercerai dengan isterinya dan mempunyai seorang anak selain kini merempat di sekitar kawasan Subang Jaya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang lelaki berang gara-gara tidak dipanggil dengan gelaran manja ‘abang’ atau ‘baby’ oleh pekerja restoran telah bertindak mengamuk membaling beberapa biji kerusi dan menendang meja di sebuah restoran sekitar Putra Heights, Subang Jaya dekat sini.

Bukan itu sahaja, lelaki yang bertindak agresif itu turut menjerit serta membaling bungkusan dan minuman panas sehingga terkena pada seorang kanak-kanak berusia empat tahun, namun didapati tiada kecederaan.

Suspek kemudiannya berjaya ditahan pukul 1 pagi pada Sabtu lalu di sebuah premis di Taman Samudera 68, Batu Caves dekat sini sebelum direman selama empat hari. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI