fbpx

Dicanang gelaran Tun, tetapi dapat Tan Sri – keluarga Nik Abdul Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Abdul Aziz.

PETALING JAYA – Ahli keluarga Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui terkejut dengan hanya gelaran Tan Sri diberikan kepada bekas Mursyidul Am Pas itu.

Cucu Allahyarham, Nik Nur Humaira berkata, sebelum ini bekas Menteri Besar Kelantan itu ‘dicanangkan’ lebih awal untuk dianugerahkan gelaran Tun, tetapi yang terjadi adalah sebaliknya.

Ujarnya, mereka sekeluarga tidak memandang rendah gelaran Tan Sri, namun terkejut kerana Allahyarham diletakkan sebaris dengan seteru politik dan agama daripada DAP dari dulu sehingga nafas akhirnya.

“Secara zahirnya, penganugerahan ini adalah perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong. Akan tetapi, penerima ini akan dicadang serta ditapis oleh Perdana Menteri terlebih dahulu.

“Surat jemputan daripada istana juga tidak diberikan melalui kerajaan negeri, sebaliknya dihantar melalui anak kedua Allahyarham yang memilih bertanding di atas tiket PKR di Perak iaitu bapa saudara kami.

“23 tahun memimpin kerajaan Pas di Kelantan, undangan bersejarah begini diberikan melalui tangan seorang yang memilih untuk tidak bersama perjuangan beliau?,” katanya dalam kenyataan di Facebook, kelmarin.

Tambahnya, memandangkan jemputan daripada Istana Negara tidak boleh ditolak, maka isteri Allahyarham, Tuan Sabariah Tuan Ishak, memenuhi undangan tersebut.

Dalam pada itu, Nik Nur Humaira turut berkata, penulisannya itu adalah tindak balas kepada beberapa naratif daripada musuh Pas, yang mengatakan bahawa Nik Abdul Aziz tidak pernah dianugerahkan Tan Sri walaupun ketika PAS menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

Katanya, hanya kerana seorang anak Allahyarham tidak sedar dirinya menjadi bola bagi pihak lawan, bergerak ikut kaki yang menyepaknya, meraikan ayahnya yang diletakkan sebaris dengan musuh agama yang dilawan sehingga keras jiwa dan putus nyawanya.

“Ulama ini diberikan pengiktirafan, hanya setelah jasad tertanam jauh di dalam bumi. Sayang sekali, ketokohan beliau diperalatkan setelah beliau tiada.

“Allahyarham telah dianugerahi gelaran Datuk Bentara Setia pada tahun 2010, iaitu tiga tahun sebelum beliau turun dari kerusi Menteri Besar setelah 23 tahun pemerintahan.

“Apa ertinya? Bahawa gelaran material ini tidak lah pernah menjadi keutamaan beliau kerana sedar bahawa pangkat dan darjat di dunia tidak menyamai ganjaran dan keredaan Allah,” ujarnya.

Nik Nur Humaira berkata, di kesempatan itu beliau tetap menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan penganugerahan Darjah Kebesaran PSM kepada Allahyarham datuk kami.

“Junjung kasih, Tuanku,” katanya.

Terdahulu, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz tersenarai antara penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 bagi Darjah Kebesaran PSM sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur, minggu lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI