KISAH 30 tahun lalu semasa tinggal di sebuah kampung di utara tanah air masih diingati dan menjadi misteri bagi seorang lelaki separuh umur yang kini menetap di Banting, Selangor.
Lelaki yang dikenali sebagai Abang Man, 51, berkata, pada usia belasan tahun, dia aktif dengan kerja kemasyarakatan seperti gotong-royong dan menggali kubur jika berlaku kematian ahli kariah.
Abang Man yang memiliki empat orang anak berusia 12 hingga 21 tahun berkata, pengalaman semasa menyertai orang-orang tua di kampungnya menguruskan jenazah amat menginsafkan.
“Ketua kepada kumpulan menggali kubur tersebut saya namakan, Pak Mael. Usianya dalam lingkungan 50-an ketika itu.
“Pak Mael dan isteri bersama seorang anak lelakinya berusia 20-an semasa itu tinggal di dalam kawasan tanah wakaf yang dijadikan tempat perkuburan dan kebun durian,” katanya memulakan kisah.
Abang Man berkata, setiap kali dia dan kawan-kawannya membantu Pak Mael menggali lubang kubur, orang tua itu akan bercerita tentang pengalamannya selama 30 tahun sebagai penggali kubur.
Ujarnya, cerita-ceritanya sangat misteri dan amat menginsafkan.
Jelasnya lagi, dia teringat Pak Mael ada memberitahu, jika ada ahli kariah meninggal dunia, dia akan mendapat petanda tertentu beberapa hari sebelum ahli kariah tersebut disahkan menghembuskan nafas terakhir.
“Antara petandanya, alat-alat menggali kubur seperti cangkul dan penjebak akan berlaga sesama sendiri beberapa malam sebelum kematian berlaku.
“Bunyinya akan kuat kedengaran menjelang berita kematian tersebut diterima.
“Selain itu, dia mula berasa tidak sedap badan seperti hendak demam jika yang meninggal dunia melibatkan orang berpengaruh dalam masyarakat,” katanya.
Abang Man memberitahu, Pak Mael pernah bercerita tentang kesukaran apabila menguruskan jenazah yang mempunyai masalah peribadi semasa hayat mereka.
Katanya lagi, kisah jenazah terlalu berat dan ukuran kubur perlu diluaskan merupakan perkara biasa sepanjang Pak Mael menjadi penggali kubur.
“Pak Mael berpesan sebagai penggali kubur, sebaik-baiknya kita tutup aib arwah. Namun, kita perlu mengambil pengajaran daripada situasi yang berlaku itu.
“Pernah sekali Pak Mael bercerita tentang kisah seekor lipan bara bersaiz besar sepanjang 0.6 meter dan 0.1 meter lebar yang berwarna merah keluar dari liang lahad yang baru digali.
“Peristiwa tersebut menyebabkan Pak Mael melompat keluar dari lubang kubur, sebelum lipan bara misteri tersebut hilang di dalam liang lahad berkenaan ,” ujarnya.
Cerita Abang Man lagi, Pak Mael tidak berkongsi nama arwah yang bakal disemadikan di liang lahad tersebut kerana dibimbangi menjadi fitnah dalam masyarakat.
Mengulas lanjut Abang Man berkata, Pak Mael pernah menasihatkannya dan rakan-rakan untuk kekal bersedia dengan kerja menggali kubur.
Katanya, ini kerana sudah menjadi resam di kampung tersebut apabila seorang meninggal dunia, tidak lama kemudian akan ada dua lagi kematian dalam masa terdekat.
“Kadangkala, kami melihat Pak Mael sudah seperti ‘Nujum Pak Belalang’ kerana apa yang disebut menjadi kenyataan apabila berlaku dua lagi kematian selepas 14 hari kematian yang pertama.
“Namun sebagai umat Islam, meramal atau menilik merupakan salah satu dosa besar kerana syirik.
“Lagi satu, Pak Mael jarang bergelak ketawa sekadar senyum jika berlaku sesuatu atau ada yang membuat cerita kelakar,” katanya.
Abang Man menjelaskan, Pak Mael pada dirinya seorang yang tinggi ilmu dunia dan akhirat, cuma dia lebih suka bersikap memerhati gelagat orang lain dan bercakap perkara baik-baik sahaja.
Kata Abang Man, ia mungkin disebabkan jiran-jiran Pak Mael adalah warga tanah perkuburan yang dia sendiri semadikan sejak berpuluh tahun lalu.
“Pak Mael tahu lokasi siapa yang meninggal, punca dan tarikh kematian mereka, walaupun tanpa tulisan di batu nisan.
“Namun semasa Pak Mael meninggal dunia, saya masih di kampung. Kematiannya juga memberi kesan kepada ahli kariah kampung tersebut, “ jelasnya lagi.
Cerita Abang Man lagi, Pak Mael selama lebih tiga dekad mencurah bakti menyempurnakan jenazah telah melakukan kerjanya dengan berkesan tidak kira waktu.
Kata Abang Man, kehidupan Pak Mael cukup misteri bagi penduduk setempat, jika orang biasa sudah pasti tidak akan tinggal di pinggir kawasan kubur.
“Pak Mael juga hidup sederhana menumpang di tanah wakaf tersebut. Budi bahasanya juga baik dan dikenali sebagai insan yang berilmu, tetapi memilih untuk fokus dengan kerjanya menjaga tanah wakaf.
“Kematiannya juga bukan dalam keadaan sakit terlantar dalam masa lama. Sebelum disahkan meninggal dunia dalam tidur, dia sempat menyerahkan tugas sebagai ketua penggali kubur kepada sahabatnya, Pak Mat,” katanya.
Kata-kata Pak Mael semuanya masih diingati Abang Man, terutama tentang cangkul dan pelbagai alat yang berlaga jika akan berlaku kematian.
Dia berkata, Pak Mael pernah memberitahu, semua yang berlaku atas kehendak Allah SWT, bukan disebabkan dirinya mempunyai ilmu tinggi.














