GENERASI kelahiran 1970-an, 1980-an atau lebih awal misalnya terdedah dengan cerita-cerita rakyat seperti Abu Nawas, Pak Kaduk, Lebai Malang, Musang Berjanggut, Pak Pandir, Mat Jenin atau Si Luncai sebagai kisah lucu dan bahan ketawa.
Bagi orang lama, itulah lawak yang menghiburkan. Di sebalik jalan cerita tolol dan sikap bodoh-bodoh, ada kritik sosial yang diutarakan.
Kemudian lawak mula dipersembahkan sebagai sebuah bentuk hiburan. Dari persembahan pentas dan televisyen, kita mula kenal lawak slapstik atau lelucon yang hampir sama dengan lawak bodoh, namun lebih cenderung menggunakan fizikal untuk berlawak, menampar muka atau terloncat-loncat untuk membuat khalayaknya tertawa.
Contoh lawak bodoh sebenarnya boleh dilihat dalam cerita-cerita makyung menerusi watak peran atau orang suruhan raja.
Orang bijak pandai mudah terasa mual dengan lawak-lawak bodoh dan slapstik, bagi mereka, pengamal lawak bodoh dan splastik dianggap tidak bijak.
Pada masa sama, ‘stand up comedy’ atau komedi berdiri mula menjadi trend yang digemari peminat dan penggiat komedi. Pentas-pentas komedi menjadi platform menumbuhkan lebih ramai pelawak moden berkarya cari makan dengan modal bercerita yang lucu-lucu.
Di pentas ‘stand up comedy’, pelawaknya dikatakan lebih bijak dengan lawak tidak bodoh dan banyak terisi kritik sosial. Khalayaknya juga dikatakan lebih terbuka boleh menghadam lawak-lawak pandai di pentas komedi berdiri yang kebanyakan dipelopori penutur bahasa Inggeris begitu juga penontonnya yang ‘English educated’.
Namun, dalam bahasa atau budaya apa pun, lawak tetap lawak yang tujuan utamanya untuk membuat orang ketawa.
Kita kenal Sabri Yunus, Nabil Ahmad dan Zizan Razak sebagai pelawak Melayu yang masih relevan. Kita juga kenal Harith Iskander, Douglas Lim, Redza Mukmin atau Afdlin Shauki sebagai pelawak dari pentas ‘stand up comedy’ yang berpengaruh.
Lawak harus membangkitkan rasa lucu dan mengeletek hati dengan topik-topik yang sememangnya berlegar di sekeliling khalayak, bukannya dibikin dengan niat menjatuhkan atau menghina seperti dirasai sedunia menerusi lawak ‘Singapura vs Malaysia’ oleh pelawak ‘bijak’ tapi ‘bodoh’ ketika ini, Jocelyn Chia.
Tidak mahu fokus tentang tahap akademik atau pencapaian hebatnya sehingga mencipta nama ke peringkat global, namun perlakuan menjenakakan antara insiden paling trauma buat rakyat Malaysia, kehilangan pesawat MH370 adalah kebodohan paling epik ciptaan pelawak wanita itu abad ini.
Semoga ‘kebodohan’ Jocelyn menjadi iktibar buat pelawak tanah air. Biarlah dikecam lawak slapstik atau ‘body shaming’ kerana menjentik perut gebu regu lawak di sebelah daripada dikutuk sedunia kerana terasa bijak saat memperlekehkan negara dan nasib malang orang lain. -KOSMO! ONLINE
















