HASRAT Volvo Car Malaysia (VCM) untuk melihat kenderaan elektrik (EV) dipasang sepenuhnya di Malaysia menjadi kenyataan setelah model pertama EV pemasangan tempatan (CKD) XC40 Recharge Pure Electric direalisasikan.
Bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama kereta mewah elektrik terkemuka di negara ini, VCM melancarkan pula kenderaan utiliti sukan (SUV) EV yang kedua, C40 Recharge Pure Electric pada hujung tahun lalu.
C40 Recharge Pure Electric yang juga merupakan model CKD syarikat itu memperjelas hala tuju syarikat tersebut yang komited untuk menjadi syarikat kereta elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2030.
Mengikut rancangan VCM, menjelang tahun 2025, 75 peratus daripada hasil jualan datang daripada rangkaian Recharge Pure Electric.
C40 Recharge Pure Electric direka untuk pelanggan yang mahu EV dengan rekaan bergaya di samping teknologi tercanggih.
Berbanding dengan model XC40, C40 ini lebih kelihatan sporty kerana rekaan bahagian sisi dan belakang yang seakan sebuah coupe.
Model ini hadir dengan kuasa elektrik sepenuhnya berserta dua motor elektrik dan transmisi pecutan tunggal bersama pacuan semua roda.

Kombinasi tersebut mampu menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 408hp dan tork tertinggi pada 660Nm yang membolehkan SUV ini memecut daripada pegun ke 100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam masa 4.7 saat.
Dengan sekali cas, model ini yang menggunakan bateri 78kWh lithium-ion mampu bergerak sejauh 450 kilometer (km) menurut jumlah jarak mengikut Worldwide Harmonized Light Vehicles Test Procedure (WLTP) dan boleh dicas dari 10 peratus sehingga 80 peratus dalam masa 28 minit sahaja.
Ketika penulis melakukan pandu uji baru-baru ini, jumlah jarak dalam pemanduan sebenar kurang sedikit daripada yang dinyatakan mengikut rekod WLTP itu. Namun, jarak sebenar sekitar 400km lebih daripada cukup untuk penggunaan dalam bandar atau antara bandar sebagai contoh Seremban, Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur secara harian.
Dari segi rekaan, model ini sebenarnya berkongsi cesi yang sama dengan model XC40, apatah lagi jika kita lihat pada bahagian hadapan seperti lampu depan LED adaptif, lampu kabus dan juga jeriji gril depan yang bertutup.
Pada bahagian sisi kelihatan perbezaannya berbanding XC40 di mana elemen coupe jelas kelihatan selain penggunaan rim bersaiz 19 inci memberikan gaya sporty.
Bahagian belakang pula, penggunaan spoiler bumbung dan spoiler atas but memberikan gaya tersendiri. Pintu but belakang boleh dibuka dengan kuasa elektrik serta boleh dibuka dengan menggunakan kaki.

Jarak antara roda model ini ialah 2,702 milimeter (mm), panjang (4,431mm) dan lebar ( 1,863mm).
Antara ciri-ciri keselamatan yang ada pada model ini seperti INTELLISAFE terdiri daripada City Safety-Collision Avoidance and Mitigation dengan Intersection Support Pedestrian, Cyclist and Large Animal Detection dengan Steering Support and Braking, Front dan Rear Collision Warning and Mitigation Support, Lane Keeping Aid (LKA), Run-Off Road Mitigation, Blind Spot Information System (BLIS) dengan Steer Assist, Cross Traffic Alert (CTA) dengan Auto Brake, Seat Belt Detection dengan Graphical Indicator untuk semua tempat duduk, notifikasi Ready to Drive dan Emergency Stop Assist.
Selain itu, Run-Off Road Protection, Dual Stage Driver dan beg udara keselamatan penumpang hadapan, beg udara keselamatan lutut pemandu, Side Impact Protection System (SIPS) dengan Dual Chamber SIPS beg udara keselamatan, Full-Length Inflatable Curtains (IC) dan Whiplash Protection System (WHIPS) untuk tempat duduk hadapan.
Pada bahagian dalaman, ia menggunakan sistem infotainment Android dengan skrin sentuh bersaiz sembilan inci serta sistem audio premium Harman Kardon®.
Pandangan saya, model ini hadir dengan tawaran yang menarik untuk sebuah EV dari jenama mewah dengan rekaan yang menarik.
Di samping itu, jarak perjalanan yang munasabah juga mengurangkan rasa ‘range anxiety’ untuk kenderaan kegunaan harian. Jika perjalanan yang jauh, mungkin pemandu boleh rancang perjalanan lebih awal di mana untuk cas bateri kenderaan. Lagipun sudah banyak tempat mengecas ditawarkan.














