fbpx

Liga Super: Selangor FC ‘ratah’ Kijang Hijau 7-1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Faisal Halim (dua kiri) meraikan jaringan yang dihasilkan pada aksi Selangor melawan Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan-KOSMO!/KAMARUL BISMI

KOTA BHARU – Kelantan United menjadi mangsa amukan Selangor FC apabila dibelasah tanpa belas 1-7 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.

Selangor FC mengejutkan kem tuan rumah melalui jaringan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi seawal minit keempat yang menyudahkan hantaran lintang Ayron De Valle.

Squad The Red Giants sekali lagi mengejutkan Kijang Hijau melalui rembatan jarak jauh Ayron pada minit ke-10 yang menerjah tepat ke penjuru kanan gol tuan rumah.

Kelantan United yang tersentak dengan dua jaringan awal pelawat berdepan kesukaran untuk melakukan kebangkitan apabila setiap serangan dilancarkan berjaya dipatahkan Selangor yang ternyata lebih mendominasi perlawanan.

Memasuki minit ke-28, Mohamad Faisal Abdul Halim menambah derita tuan rumah apabila larian lincahnya berjaya mengelirukan barisan pertahanan Kelantan United sebelum rembatan jarak dekatnya menewaskan Muhamad Ilham Amirullah Razali buat kali ketiga.

Ayron memastikan squad Gergasi Merah benar-benar selesa di hadapan melalui gol kedua peribadinya hasil rembatan lencong jarak jauh yang tepat ke penjuru kiri gol tuan rumah pada penghujung separuh masa pertama menjadikan kedudukan 0-4 sebelum bergerak memasuki bilik persalinan.

Babak kedua bermula dengan Selangor selesa membimbing perlawanan dan berterusan mengasak kubu Kelantan United yang bermain dengan lebih berhati-hati.

Malam derita Kijang Hijau bertambah parah apabila rembatan kencang Yohandry Cujia dari luar kotak penalti pada minit ke-51 merobek gawang tuan rumah buat kali kelima selepas bola tampanan Muhamad Ilham Amirullah menuju tepat kepadanya.

Ketinggalan lima gol, Kelantan United tetap cuba mencari gol untuk mengurangkan jurang jaringan dan usaha mereka berhasil apabila dihadiahkan sepakan penalti yang disudahkan dengan baik oleh Devid De Silva pada minit ke-75.

Namun skuad Gergasi Merah memastikan derita Kelantan United berterusan melalui jaringan Muhammad Aliff Izwan Yuslan pada minit ke-78 sebelum Ayron melengkapkan jaringan hatriknya seminit kemudian.

Dua jaringan terakhir dalam masa seminit itu bagai membunuh semangat juang kem tuan rumah sekali gus melengkapkan kemenangan penuh bergaya Selangor FC pada malam pembuka tirai pusingan kedua Liga Super. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI