fbpx

Sate Maharani menu sarapan istimewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SATE Maharani merupakan hidangan signatur untuk sarapan pagi di R&H Cafe

SETIAP gigitan sate Maharani menerbitkan rasa manis dan sedikit berempah, sekali gus menjadikannya sebagai juadah unik yang harus dicuba sekiranya berkunjung ke Muar, Johor.

Juadah signatur di R&H Cafe tersebut dihidangkan sebagai menu sarapan sesuai dengan budaya masyarakat setempat.

Lebih menarik, sate Maharani mendapat namanya atas perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang turut menggemari juadah tersebut.

Pelanggan boleh memilih pelbagai jenis sate untuk dicuba iaitu sate daging, sate ayam, sate perut dan sate limpa.

Nekad meneruskan legasi arwah ibu, Nabila Rubai’, 32, bersama empat lagi adik-beradiknya pulang ke Muar untuk menguruskan perniagaan tersebut.

Menurut Nabila, kesemua resepi arwah ibunya, Hariyati Pungot masih lagi dikekalkan tanpa sebarang perubahan.

“Arwah ibu merupakan tukang masak untuk istana setiap kali tuanku mencemar duli ke Muar.

MI rebus Jawa, lontong champion, roti manja dan tauhu lentuk merupakan antara menu pilihan pelanggan di R&H Cafe, Muar, Johor.

“Ibu akan menyediakan juadah seharian buat tuanku.

“Nama kedai ini juga mendapat perkenan sultan yang ketika itu masih lagi Tunku Mahkota Johor (TMJ) bersempena lokasi asal kafe ini di Muar (Bandar Maharani).

“Saya sempat mempelajari kesemua resepi bagi mengekalkan air tangan ibu yang menjadi tarikan di kafe ini,” ujarnya yang kehilangan ibunya pada Ogos 2020.

Menggunakan konsep kafe dalam taman, pengunjung boleh menikmati juadah sarapan pagi sambil dikelilingi bunga-bunga yang menjadi sebahagian daripada dekorasi kedai.

Di bahagian luar, terdapat pondok-pondok kecil buat pelanggan yang mahu menikmati juadah secara berasingan daripada pelanggan lain.

Selain sate Maharani, antara juadah yang menjadi pilihan pelanggan adalah nasi lemak pacak, mi rebus Jawa, lontong champion, roti manja dan tauhu lentuk dan super sup.

Bagi pengunjung dari Kuala Lumpur, sebiji telur rebus di dalam sebungkus nasi lemak memberikan satu kepuasan yang jarang dijumpai di ibu kota.

Untuk minuman pula, para pelanggan disarankan untuk mencuba air bumble bee (teh bunga osmanthus dan buah laici) serta sirap bandung pandan.

Tambah Nabila, kelainan yang diterapkan dalam resepi juadahnya membuatkan pelanggan daripada pelbagai latar belakang boleh sama-sama menikmati makanan di kafenya.

“Kami menggunakan telur ayam kampung yang direbus separuh masak.

“Ini akan memberi kepuasan berbeza apabila dimakan bersama roti bakar.

“Tauhu lentuk kami pula dibuat menggunakan resepi tradisi tersendiri yang tidak dapat dijumpai di kedai lain di sekitar sini,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI