fbpx

Jadikan MH370 persendaan, Harith Iskandar ‘sekolahkan’ pelawak Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARITH Iskandar menyelar tindakan kelancangan mulut pelawak Singapura Joycelyn Chia yang menghina Malaysia dalam sebuah persembahan lawak,

PETALING JAYA – Menyanjung tinggi kebebasan berekspresi di pentas komedi, pelawak prolifik tanah air Harith Iskander percaya sensitiviti dan empati terhadap apa sahaja peristiwa traumatik adalah pantang larang yang perlu menjadi asas semasa berlawak.

Tampil menyelar tindakan seorang pelawak Singapura, Jocelyn Chia yang dikecam teruk berhubung lawak menjatuhkan Malaysia dengan peristiwa kehilangan pesawat MH370, katanya, tragedi yang meninggalkan trauma kepada rakyat Malaysia terutama keluarga anak kapal dan penumpang dan sepatutnya tidak dijadikan gurauan.

Menurut penerima gelaran Funniest Person In The World itu, pelawak harus bertanggungjawab dan menyedari setiap impak bahan yang berpotensi memberi kesan terhadap orang ramai.

“Pelawak selaku orang seni perlu menyedari impak kata-kata mereka boleh menjadi pengaruh kepada orang lain kerana komedi adalah alat berkuasa untuk ulasan sosial.

“Komedi seperti semua hasil seni, adalah perkara subjektif, di mana apa yang jadi kelakar kepada seseorang, tetapi mungkin tidak kepada orang lain.

“Saya tahu Jocelyn Chia sedang membuat persembahan di sebuah kelab di Amerika Syarikat, tetapi sebagai rakyat Singapura, dia perlu lebih bijak.

“Malangnya, dia tidak sedar pada zaman media sosial berkuasa membawa isu mengenai Malaysia dan MH370 mungkin memberi kesan lebih meluas,” katanya katanya menerusi video menerusi Instagram.

Harith yang kini berada di Paris mengulas isu membabitkan pelawak wanita Singapura yang meraih kecaman selepas secara melampau yang menyifatkan pesawat Malaysia MH370 sebagai ‘tidak mendarat’.

Penerbit merangkap pelakon senior itu juga menyifatkan mentaliti rakyat negara membangun seperti Malaysia sebenarnya lebih tinggi berbanding pemikiran pelawak wanita terbabit yang kononnya lahir di sebuah negara maju.

“Walaupun kami, rakyat Malaysia masih sebagai negara sedang membangun, tetapi apabila merujuk kepada kebaikan dan sikap ambil berat atau kepedulian, kami nombor satu di dunia.

“Akhirnya, sebagai pelawak, niat kita sepatutnya membuat orang ketawa. Saya percaya pelawak dan ‘stand up comedy’ sepatutnya berusaha mencipta sesuatu yang positif dan inklusif,” katanya.

Katanya, pengaruh media sosial harus dijadikan pertimbangan dalam setiap kandungn komedi  dan seseorang pelawak sepatutnya lebih bijak dan mencipta suasana lawak yang inklusif.

“Saya juga melawak tentang Singapura. Niat saya ialah untuk buat orang ketawa. Umpama persaingan antara sepupu, cuma kena sedar impak dan kesannya akan berlegar dalam media sosial,’ katanya.

Terdahulu, Jocelyn yang mengadakan persembahan komedi berdiri di sebuah kelab, Comedy Cell di Manhattan, New York itu memulakan lawak dengan mempersendakan seorang penonton Malaysia.

Selepas melemparkan kata-kata kesat kepada penonton terbabit, pelawak berkenaan turut membandingkan Malaysia yang bertaraf negara membangun, berbanding negaranya yang maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.

Sepanjang rakaman video berdurasi 1 minit 29 saat yang tersebar, pengisian bahan lawak dipersembahkannya berbaur hinaan selain menunjukkan mimik muka seakan-akan membenci Malaysia.

Menerusi laman sosial, rata-rata netizen tersentak dengan kelancangan Chia menghina tragedi kehilangan MH370 apabila menyerang Instagram wanita itu sehingga mendorongnya menutup ruangan komen.

Menerusi satu kenyataan hari ini, kerajaan Singapura bagaimanapun memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas lawak melampau yang dibuat Jocelyn walaupun tidak lagi berstatus warganegara Singapura.

Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon berkata, beliau amat terkejut dengan kenyataan menyinggung yang dibuat oleh Jocelyn dalam satu persembahan komedi berdiri baru-baru ini.

“Jocelyn tidak lagi memegang kewarganegaraan Singapura dan kata-kata atau tindakannya sama sekali tidak mencerminkan pandangan Singapura,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI