fbpx

Kalimah Allah: Bincang dalam MKI sebelum dirujuk Majlis Raja-Raja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin ketika berkenan menerima menghadap Anwar di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam hari ini.

SHAH ALAM – Isu sensitiviti agama terutama penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam perlu dibincangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sebelum dirujuk kepada Majlis Raja-Raja.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda sudah berbincang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar İbrahim yang hadir menghadap dan menyembah taklimat mengenai keputusan kerajaan menarik balik rayuan kes baru-baru ini.

Baginda yang juga Pengerusi MKI turut disembah maklum komitmen kerajaan yang akan merujuk kepada Majlis Raja-Raja bagi penetapan dasar berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

“Beta menyatakan pandangan yang turut dipersetujui Yang di-Pertuan Agong bahawa perkara itu perlu dibawa terlebih dulu kepada MKI untuk dibincangkan selaras fungsi menasihatkan Raja-Raja Melayu menambah baik tadbir urus agama Islam di peringkat Persekutuan.

“Selain itu, ia melibatkan sensitiviti agama yang perlu dimuktamadkan segera oleh kerajaan dengan penuh hikmah dan tanggungjawab,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, Perdana Menteri bersetuju membawa isu itu kepada MKI pada Ogos depan sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada Oktober nanti.

Baginda turut mahu penyelesaian isu itu dibuat secara berhati-hati dengan berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan tanpa memprejudis hak orang lain untuk menganut dan mengamalkan agama mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI