fbpx

Rekod nombor plat kenderaan penguat kuasa, elak dikesan seleweng minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguat kuasa KPDN menyerbu sebuah stor di Kampung Melayu, Padang Besar kerana disyaki menyeleweng diesel dan petrol bersubsidi pada semalam.

PADANG BESAR – Sindiket penyelewengan diesel dan petrol bersubsidi dikesan merekodkan nombor pendaftaran kenderaan milik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis bagi mengawasi pergerakan penguat kuasa tersebut.

Malah, sindiket juga didapati mempunyai senarai nombor pendaftaran kenderaan peribadi milik pegawai KPDN negeri itu.

Perkara tersebut terbongkar selepas penguat kuasa KPDN menemui senarai nombor pendaftaran kenderaan berkenaan di dalam sebuah kereta yang disyaki digunakan untuk mengangkut minyak di Kampung Melayu, di sini semalam.

Rekod senarai nombor pendaftaran kenderaan KPDN dan milik peribadi pegawai KPDN Perlis yang ditemui dalam sebuah kereta disyaki digunakan untuk menyeludup diesel serta petrol bersubsidi.

Pengarah Pejabat KPDN Perlis, Norazah Jaapar memberitahu, pihaknya menerusi Ops Tiris melakukan dua serbuan di Kampung Melayu kerana disyaki melakukan kegiatan penyelewengan diesel dan petrol bersubsidi.

Katanya, serbuan di sebuah stor tanpa nombor kira-kira pukul 7.30 pagi itu dilakukan hasil risikan penguat kuasa sejak dua minggu lalu.

“Dalam serbuan pertama, pasukan serbuan mendapati sebuah kenderaan bernombor pendaftaran asing sedang menyedut keluar diesel dari tong drum ke dalam tangki minyak kenderaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui kira-kira 640 liter diesel dan 300 liter petrol,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, pihaknya bertindak menahan dua lelaki masing-masing berusia awal 20-an dan lewat 50-an di lokasi serbuan bagi membantu siasatan.

“Kita juga menyita diesel, petrol, tong drum, tong ‘jerry can’, pam elektrik sedut minyak berserta hos dan kenderaan asing berkenaan untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan kira-kira RM53,451,” ujarnya.

Menurut Norazah, dalam serbuan berasingan di lokasi berhampiran pula menemui sebuah kereta bernombor pendaftaran tempatan yang mempunyai tangki tambahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI