fbpx

Peruntukan RM900,000 projek pembenihan ikan air tawar, udang dan baung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAHARI (dua dari kiri) melepaskan benih ikan serta udang di Jeti Kampung Tekam, Segamat hari ini.

SEGAMAT – Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM900,000 bagi projek pembenihan ikan air tawar dan udang serta penternakan ikan baung di negeri Johor, tahun ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip, daripada peruntukan berkenaan sebanyak RM750,000 akan digunakan untuk projek pembenihan ikan air tawar dan udang.

“Baki sebanyak RM150,000 lagi adalah khusus untuk projek penternakan ikan baung yang akan dilaksanakan di daerah Segamat melalui Jabatan Perikanan negeri dalam masa terdekat ini.

“Buat masa ini, di Johor telah mempunyai dua pusat pembenihan ikan air tawar sedia ada iaitu di Kulai dan Pontian.

“Melalui peruntukan berkenaan, kita akan tambah baik serta kita akan wujudkan satu lagi pusat pembenihan berkenaan di Segamat,” katanya selepas program pelepasan 200,000 benih udang galah di perairan negeri Johor di Jeti Kampung Tekam, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam masa yang sama, pihaknnya juga akan membuka sebuah pusat penternakan ikan baung juga di Segamat, yang mana ianya akan mampu meningkatkan jumlah pengeluaran ikan tersebut.

Jelas Zahari, dengan adanya penambahbaikan dalam projek pembenihan ikan air tawar dan udang serta penternakan ikan baung berkenaan, ianya akan mampu mengurangkan pembelian benih ikan air tawar dan udang dari negeri lain, sekali gus berpeluang untuk menjadi pengeluar utama. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI