fbpx

Bila pelanggan setia jadi model tudung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Para peminat setia menjadi kekuatan jenama.

APABILA bercakap tentang pentas peragaan fesyen, apa yang terbayang di minda adalah barisan model-model cantik, bertubuh tinggi lampai yang berjalan penuh bergaya sambil memperagakan sesuatu koleksi.

Namun, pemilik sebuah jenama tudung tempatan baru-baru ini mencipta kelainan apabila memilih untuk menampilkan peminat setia label itu sendiri untuk berjalan di atas pentas sambil memperaga koleksi baharunya di Shoppes at Four Seasons Place, Kuala Lumpur.

Pengasas jenama tudung Sugarscarf, Eyqa Sulaiman berkata, dia berhasrat meraikan peminat setia tudungnya itu dengan memberi peluang kepada mereka untuk bergaya dan berjalan di atas pentas peragaan.

Bagi Eyqa, ini adalah salah satu cara untuk dia menghargai peminat setia yang juga menjadi kekuatan Sugarscarf sejak mula ditubuhkan 13 tahun lalu.

“Pemilihan para pelanggan untuk memperagakan koleksi ini adalah satu bentuk penghargaan kami kepada mereka.

“Selama 13 tahun Sugarscarf bertapak dalam industri fesyen tanah air, mereka ini antara pelanggan yang setia dengan kami sejak ia bermula sehingga hari ini.

“Tiada wajah yang lebih istimewa untuk kami tampilkan kerana mereka merupakan kekuatan Sugarscarf dan tanpa pelanggan setia ini, kami mungkin tak dapat bertahan untuk tempoh lebih sedekad,” kata Eyqa.

Tudung tersebut diinspirasikan dari era Empayar Turki Uthmaniyah.

Acara dimulakan dengan beberapa orang pelanggan setia berjalan di atas pentas peragaan sambil menggayakan koleksi baharu yang diberi nama Garden of Hurrem.

Ia diinspirasikan daripada kisah isteri Sultan Suleiman I iaitu Roxelana yang masyhur pada era Empayar Turki Uthmaniyah. Rekaan bermotifkan bunga dan bertemakan Maghribi melatari koleksi kali ini yang cukup memukau.

Rona-rona menarik yang ditonjolkan pada setiap rekaan juga menaikkan seri pemakai.

Bagi koleksi ini, ia didatangkan dalam jenis selendang dan tudung bawal bagi memberikan lebih banyak pilihan gaya kepada pelanggan.

Tambah Eyqa, selain melancarkan koleksi Garden of Hurrem itu, dia turut melancarkan koleksi tudung harga mampu milik.

“Buat kali pertama dalam sejarah Sugarscarf, pelanggan dapat membeli tudung jenama ini pada harga RM39.

“Ini merupakan kali pertama Sugarscarf lancarkan tudung pada harga serendah RM39 kerana sebelum ini, tudung kami memang dijual pada harga RM99 ke atas kerana kami amat menitikberatkan kualiti,” jelasnya.

Menurut salah seorang peminat setia, Fairuz Lin, dia cukup seronok apabila diberi peluang menjadi model Sugarscarf selama sehari.

“Terima kasih atas peluang yang diberikan kepada kami untuk memperaga koleksi baharu ini.Sejujurnya saya berasa sangat gembira atas peluang ini,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI